Tenaga hidrogen S’wak bisukan pengkritik

Bukan lagi omong kosong, bukan lagi mimpi liar dan bukan lagi retorik politik.

Sarawak kini telah memiliki loji dan stesen hidrogen.

Bahkan sudah ada kenderaan hidrogen, baik dalam bentuk bas mahupun kereta.

Kelompok ini adalah perintis dan diyakini kenderaan menggunakan kuasa hidrogen akan tumbuh lebih banyak selepas ini.

Yang penting, lafaz kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bukan angan-angan Mat Jenin, seperti yang didongeng banyak pihak, termasuk Ketua Pembangkang Chong Chieng Jen.

Jika loji hidrogen ini telah berjaya dibina; pertama di Asia Tenggara, apatah lagi projek aliran transit ringan (LRT). Pasti ada yang cuba untuk membuat tafsir negatif, termasuk mengatakan ia membazir. Kalau ada kelompok seperti ini berbicara, abai-kanlah. Anggaplah mereka sebagai ‘sampah masyarakat’ yang suka melihat negeri ini berada selangkah mundur ke belakang.

Kenapa?

Kerana komitmen Sarawak memajukan industri permotoran berasaskan hidrogen ini adalah untuk menyediakan pengangkutan yang mesra alam, dan yang lebih penting kos bahan bakarnya murah.

Kenderaan yang menggunakan bahan bakar ini hanya melepaskan haba dan air ke udara berbanding karbon dioksida, jika kita menggunakan kenderaan yang menggunakan tujahan bahan fosil seperti petrol dan diesel. Ini adalah kenderaan masa depan dan banyak negara sedang mengaplikasinya.

Justeru itu penting untuk rakyat negeri ini berdiri di belakang Ketua Menteri untuk melaksanakan projek sepenting ini.

Menjelang tahun 2030, lebih 850 ribu kenderaan akan menjalar di jalan-jalan raya di bandar raya Kuching. Dengan jumlah sebanyak itu, bayangkan situasi pencemaran bunyi dan asap. Asap pula mendatangkan tekanan tersendiri kepada mereka yang menghidunya.

Justeru langkah Kerajaan Sarawak menyokong inovasi ini adalah sesuatu yang tepat.

Kita mahu negeri Sarawak dan bandar raya Kuching akan diingati bukan sahaja kerana kebersihannya, tetapi kerana keindahan dan kesegaran.

Tanpa pencemaran alam dan bunyi. Malah yang paling menarik, sumber bekalan bahan bakarnya cukup murah kerana Sarawak mengawal dan membiayai sendiri penjanaan hidrogen ini menerusi beberapa empangan meganya.

Jika di selatan Sarawak, sumber airnya diperoleh dari Empangan Bengoh dan Empangan Batang Ai, manakala di bahagian tengah, Empangan Bakun, Empangan Murum dan Empangan Baleh. Empangan Trusan pula akan membekal untuk kawasan utara Sarawak, jika siap dibina kelak.

Dan semua sumber ini akan disalur ke loji pemprosesan atau pengeluaran hidrogen melalui sistem grid air yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Sarawak.

Yang pasti, kejayaan Kerajaan Sarawak dalam menjayakan projek ini akan membuka mata banyak pihak.

Tidak mustahil Indonesia dan Brunei akan mengikut jejak yang sama, apatah lagi jika benar Indonesia mahu mengubah ibu negaranya ke Kalimantan.

Begitu juga dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, jika mereka dapati harga bahan bakar Sarawak lebih murah dan mudah. Ini juga diperakui Petronas dalam sesi taklimat sebelum ini, yang menyebut sumber bahan bakar alternatif dan tenaga boleh diperbaharui semakin menjadi pilihan berbanding bahan bakar fosil.

Jika ini berlaku, ia khabar yang baik untuk Sarawak.

Selepas berjaya mengeksport tenaga elektrik dari empangan hidronya, ia boleh mengeksport pula tenaga hidrogen untuk menambah kantung negeri. Cuma yang perlu dilakukan adalah untuk memastikan tenaga yang dihasilkan ini kelak adalah daripada gred terbaik.