ARTIKEL

Tengku Zafrul: Kerajaan sedia benarkan lebih ramai keluar caruman Akaun 1 KWSP

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia untuk memperluas jumlah pencarum yang layak bagi pengeluaran wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan semua pihak terlibat khususnya KWSP.

Jelasnya, cadangan itu dibuat setelah mengambil kira keresahan rakyat yang terkesan dengan impak penularan COVID-19.

“Selepas rundingan itu selesai, kita perlu tunggu dalam beberapa hari lagi untuk saya serta KWSP umumkan berhubung usaha memperluaskan kepada lebih 600,000 rakyat menerima faedah ini. Kita juga akan jelaskan juga kenapa kita buat demikian,” katanya pada sidang media di Wisma Bernama, di sini hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lepas, Tengku Zafrul mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan bagi meringankan beban kewangan ahli-ahli yang terjejas.

Pada April lepas, KWSP telah memperkenalkan skim kemudahan pengeluaran i-Lestari yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak RM500 sebulan selama tempoh 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM6,000, memberi manfaatkan kepada kira-kira 4.7 juta ahli dengan nilai RM11.6 bilion.

Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan Dewan Rakyat tidak meluluskan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul berkata jika perkara itu berlaku, kerajaan tidak dapat membayar segala komitmen termasuk pembayaran gaji dan bantuan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi COVID-19.

Beliau bagaimanapun optimis belanjawan melibatkan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan yang memfokuskan kepada usaha membantu rakyat dan pemulihan perniagaan serta ekonomi negara itu akan diluluskan.

“Bagi saya, kalau belanjawan ini dapat menolong negara kita, jadi tiada sebab untuk belanjawan ini tidak diluluskan dan ditolak (Dewan Rakyat). Kalau ditolak, dari segi ekonominya kita tidak dapat bayar komitmen kerajaan termasuk untuk membayar bantuan kepada rakyat,” katanya.

Menteri kewangan itu juga turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa sekolah vernakular dipinggirkan dalam peruntukan Belanjawan 2021.

Jelasnya, ini kerana pada sesi pembentangan belanjawan itu, peruntukan untuk sekolah tidak diklasifikasikan mengikut jenis sekolah dan menambah perincian peruntukan bagi setiap jenis sekolah akan dijelaskan oleh Kementerian Pendidikan tidak lama lagi.– BERNAMA

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan