PERISTIWA banjir bandang atau banjir besar yang berlaku secara tiba-tiba, seperti yang melanda Aceh, sebahagian Sumatera serta selatan Thailand pada penghujung November 2025 – bukanlah kejadian terpencil.
Hujan ekstrem fenomena ibaratkan “hujan sebulan, turun dalam sehari” menggambarkan situasi berlaku sehingga lebih 400 milimeter per hari.
Korban jiwa terbanyak di Indonesia mencapai 1,000 jiwa (sekitar 200 masih hilang), disusuli Thailand 162, Sri Lanka 123 dan Malaysia dua. Fenomena yang turut menyebabkan tanah runtuh atau gelongsoran merupakan gabungan kompleks faktor meteorologi jangka pendek.
Ia juga didorong oleh keadaan atmosfera skala besar, serta tekanan perubahan iklim global yang meningkatkan intensiti cuaca ekstrem di rantau Asia Tenggara.
Amaran oleh BMKG Indonesia sendiri, serta data satelit dan analisis NASA, memberi gambaran tentang mengapa siklon dan bibit siklon semakin mudah terbentuk dan menghasilkan bencana hidrometeorologi serius.
Pihak berkuasa bahagian kaji cuaca, fenomena alam dan bencana mengenal pasti pembentukan Siklon Tropis Senyar yang terbentuk daripada bibit siklon di sekitar perairan Selat Melaka dan barat Aceh.
Walaupun pada peringkat awal ia sekadar bibit, namun keadaan atmosfera dan suhu laut yang sesuai membolehkannya berkembang menjadi sistem siklon yang aktif.
Siklon tropis membawa peredaran angin berpusar kuat, menarik sejumlah besar wap air dari permukaan laut dan menolaknya ke kawasan konvergensi atau lokasi pengumpulan.
MONSUN
Apabila udara lembap ini terangkat, ia menghasilkan awan konvektif tebal dan seterusnya hujan ekstrem dalam tempoh sangat singkat.
Siklon yang terbentuk berhampiran daratan seperti Selat Melaka mempunyai kesan yang lebih merosakkan kerana ruang geografi sempit mengakibatkan hujan tertumpu dan tidak tersebar jauh.
Siklon tidak beroperasi sendirian.
Ketika kejadian, Asia Tenggara berada dalam fasa aktif Monsun Timur Laut, yang secara semula jadi membawa angin lembap dari Laut China Selatan ke pesisir barat Semenanjung Malaysia dan Sumatera.
Apabila aliran monsun bertemu dengan pusat siklon, ia menggandakan bekalan wap air, memanjangkan tempoh hujan serta memperluas kawasan impak.
Beberapa laporan meteorologi juga menunjukkan pengaruh gelombang atmosfera MaddenJulian Oscillation (MJO) yang berada pada fasa aktif, sekali gus meningkatkan lagi aktiviti konveksi di seluruh maritim Indonesia dan sekitar Selat Melaka.
Hasil gabungan ini menyebabkan hujan kategori ekstrem di banyak lokasi, contohnya Aceh Utara mencatat lebih 300mm/ hari, manakala Medan 262mm/ hari. Salah satu dapatan konsisten NASA dalam beberapa tahun kebelakangan ialah peningkatan suhu permukaan laut di rantau tropika.
Laut yang lebih panas memberi lebih banyak tenaga haba dan lembapan, yang merupakan “bahan bakar” utama bagi pembentukan siklon.
Apabila SST meningkat walaupun 0.5°C hingga 1°C, ia boleh mempercepat penguatan bibit siklon, memanjangkan hayat siklon serta meningkatkan keamatan hujan.
SIKLON
Pada 2025, imejan satelit menunjukkan Laut Andaman, Laut Sumatera dan Selat Melaka berada pada suhu lebih tinggi daripada purata, meningkatkan kebarangkalian pembentukan sistem siklon.
Menurut analisis NASA, lima tahun terakhir menunjukkan peningkatan mendadak kejadian cuaca ekstrem global – termasuk banjir, hujan lebat dan tempoh kekeringan yang ekstrem.
Data satelit GRACE yang memantau perubahan simpanan air global mendapati peristiwa cuaca ekstrem kini berlaku dua kali lebih kerap berbanding purata 2003-2020 serta tempoh hujan ekstrem lebih panjang, dengan intensiti peristiwa lebih tinggi walaupun pemanasan global tidak meningkat pada kadar sama.
Ini bermaksud perubahan iklim memperhebat potensi ribut dan hujan luar biasa, termasuk fenomena seperti Senyar.
Walaupun hujan ekstrem ialah pemicu, impak bencana dipengaruhi oleh kerentanan setempat seperti penebangan hutan dan hakisan.
Manakala, kawasan cerun yang telah kehilangan penutup vegetasi menjadi mudah runtuh apabila menerima hujan intensif.
Pembangunan di zon berisiko juga menyebabkan bandar dan kampung yang dibina berhampiran sungai, dataran banjir atau kaki bukit lebih mudah dilanda banjir lumpur.
Sementara itu, sistem saliran yang tidak mencukupi, menyebabkan hujan ekstrem dalam tempoh singkat melimpahkan sungai, menjadi banjir kilat yang sukar ditangani oleh sistem saliran tradisional.
PEMBALAKAN, HAKISAN
Punca lain disebabkan respons kecemasan yang tidak seragam, misalnya pihak kecemasan mengeluarkan amaran seawal lapan hari sebelum pembentukan siklon, tidak semua daerah bertindak pantas.
Tragedi yang berlaku di sebahagian negara Asia Tenggara itu, menunjukkan kejadian banjir bandang dan tanah runtuh pada akhir 2025 bukan sahaja disebabkan oleh Siklon Tropis Senyar, tetapi oleh interaksi pelbagai faktor.
Antaranya, pembentukan siklon di kawasan sensitif seperti Selat Melaka, faktor penguatan oleh monsun dan gelombang atmosfera, punca naiknya suhu laut yang lebih tinggi daripada biasa, pengaruh perubahan iklim global yang meningkatkan keamatan cuaca ekstrem, serta kelemahan pengurusan risiko bencana di peringkat tempatan.
Kejadian ini gambaran jelas bahawa rantau Asia Tenggara semakin terdedah kepada bencana hidrometeorologi yang dipacu perubahan iklim.
Kesiapsiagaan awal, pengurusan guna tanah, serta peningkatan infrastruktur mitigasi banjir perlu diperkukuh bagi menghadapi musim siklon dan monsun akan datang.
Kini, Asia Tenggara terdedah dengan ancaman baharu siklon lain pada period Disember hingga Februari kerana musim tengkujuh belum lagi berakhir.
Dan ancaman perubahan cuaca ekstrem global menjadi bagaikan bom jangka.
Di Indonesia, Bengkulu, selatan Sumatera, selatan Jawa, Bali, Nusa Tenggara, Maluku, Papua tengah dalam kewaspadaan. Perlu diingatkan bahawa tengkujuh bermula pertengahan November dan berakhir Mac depan.
Jadi, tengkujuh baru sahaja bermula dan belum sampai ke pertengahannya.






