ARTIKEL

Tangkapan seorang lelaki warga Indonesia bersama pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM127,350 dalam operasi di kawasan sempadan Serikin, malam tadi.

Tentera Darat patahkan cubaan penyeludupan dadah di sempadan Serikin

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Cubaan menyeludup dadah merentasi sempadan Malaysia-Indonesia berjaya dipatahkan Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi penahanan seorang lelaki warga Indonesia bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM127,350 dalam operasi di kawasan sempadan Serikin, malam tadi.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan tangkapan dilakukan anggota Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) di bawah naungan Briged Ketiga Infantri Malaysia selepas suspek dikesan menggunakan laluan tidak sah bagi membawa keluar bahan terlarang berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, suspek yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah itu didapati membawa 795 gram syabu, 250 biji pil Eramin 5 serta tiga botol cecair vape yang dipercayai mengandungi bahan disyaki dadah,” menurut kenyataan itu.

Kesemua barang rampasan bersama suspek diserahkan kepada Balai Polis Bau untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

TDM turut menegaskan kejayaan itu membuktikan keberkesanan operasi kawalan sempadan yang dilaksanakan secara berterusan dalam membanteras aktiviti penyeludupan.

“Tangkapan ini merupakan satu lagi kejayaan penting dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan dadah rentas sempadan, sekali gus mencerminkan tahap kesiapsiagaan pasukan dalam mengawal laluan tidak sah,” kata kenyataan itu lagi.

TDM kekal komited mempertingkatkan rondaan dan operasi di kawasan sempadan berisiko tinggi bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara daripada ancaman jenayah rentas sempadan.

Orang ramai turut diseru menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa sebagai usaha bersama memperkukuh keselamatan negara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU