KUCHING: Seorang tentera berpangkat lans koperal dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana merogol anak saudaranya berusia 12 tahun, empat tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 29 tahun dan berasal dari Kelantan itu didapati bersalah atas dua pertuduhan pada akhir kes pembelaan hari ini.
Hakim Iris Awen Jon menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.
“Manakala pihak pembelaan pula gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap kes tersebut,” kata Iris.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dalam bilik tidur di sebuah rumah kediaman di Kuching pada 20 Disember 2023 dan Januari 2024.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.
Iris menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama.
Bagi pertuduhan kedua, dia dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan lapan sebatan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak berkuat kuasa dari tarikh reman 20 September 2024.
Seramai enam saksi daripada pihak pendakwaan dan tiga saksi daripada pihak pembelaan dipanggil sepanjang perbicaraan kes.
Menurut fakta kes, hasil siasatan mendedahkan mangsa sendiri, iaitu pengadu, memberitahu kejadian itu semasa cuti penggal persekolahan.
Mangsa ialah anak saudara kepada isteri tertuduh.
Kejadian pertama berlaku pada 20 Disember 2023 ketika pengadu sedang tidur dalam bilik, sebelum dia membukakan pintu yang diketuk tertuduh.
Tertuduh menolak mangsa serta mengangkatnya ke tilam dan menutup mulut mangsa sebelum dirogol.
Mangsa cuba melawan tetapi tidak berdaya.
Kejadian kedua berlaku pada Januari 2024, sekitar jam lapan pagi, apabila tertuduh berpura-pura mengambil bantal di bilik mangsa sebelum menarik baju mangsa.
Akibat tarikan tersebut, mangsa terjatuh tetapi tertuduh mengambil kesempatan dengan membuka seluar mangsa lalu merogolnya.
Tidak tahan dengan perbuatan bapa saudaranya, mangsa memberitahu ibunya tentang kejadian itu.
Ibu mangsa terus membawanya ke balai polis untuk melaporkan kejadian yang menimpa anaknya.
Laporan pemeriksaan doktor pakar yang merawat mangsa turut mengesahkan terdapat koyakan lama pada kemaluan mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng, manakala tertuduh diwakili Peguam Joshua Lee Sik Ern.



