BUKU Teori Kaunseling dan Psikoterapi edisi kelima ditulis oleh Sapora Sipon dan Ruhaya Hussin.
Buku ini merangkumi 22 bab secara keseluruhan. Setiap bab menjelaskan keperluan teori, peranan kaunselor dan jenis terapi dalam kaunseling.
KONSEP DAN TEORI
Setiap bab membincangkan tentang terapi yang diisi dengan maklumat latar belakang tokoh, konsep, aplikasi teori, matlamat, teknik, peranan kaunselor dan klien, sumbangan terapi berserta limitasi terapi.
Menariknya edisi baharu ini, penulis berusaha melengkapkan tajuk berkaitan teori kaunseling dan psikoterapi di samping memuatkan terapi lain yang baharu dalam bidang tersebut.
Antaranya, Terapi Bermain, Terapi Feminis dan turut membincangkan peranan kaunselor sebagai individu yang profesional pada bab kedua.
Selain itu, sama seperti edisi sebelumnya, pembaca boleh memahami penjelasan setiap konsep dan terapi yang wujud.
Buku ini menggunakan bahasa mudah dan susunan penulisan mantap menjadikan buku ini amat menarik untuk dibaca.
Namun, ilustrasi gambar yang digunakan agak kurang menonjol dan perlu ditambah dengan rajah yang dapat membantu pemahaman pembaca.
BIDANG KAUNSELING
Mereka yang terlibat dan berminat dalam bidang kaunseling dialu-alukan bagi memanfaatkan ilmu yang terdapat dalam buku ini terutama untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang tersebut.
Tambahan pula, penulis merupakan pakar dalam bidang ini, maka penulisannya sangat sesuai dijadikan rujukan.
Tahniah atas usaha pengarang menambahkan koleksi buku dalam bidang kaunseling terutama dalam buku bahasa Melayu.
Buku ini amat sesuai dibaca oleh setiap pelajar dalam bidang kaunseling dan dapat dijadikan bahan bacaan kepada masyarakat umum.



