ARTIKEL

Terapi robotik pertama di Malaysia Timur

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Pusat Pakar Perubatan Normah (NMSC) menjadi hospital pertama di Malaysia Timur (Borneo) yang menyediakan perkhidmatan pemulihan berteknologi tinggi menerusi terapi robotik.

Inisiatif tersebut dijayakan menerusi kerjasama Pusat Pakar Perubatan Normah dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyediakan perkhidmatan pemulihan terbaik dan terkini kepada pesakit. 

Terapi ini menggunakan Hybrid Assistive Limb (HAL) dari Jepun untuk pemulihan lebih cepat bagi pesakitnya atau Teknologi Robotik Cyberdyne. 

Presiden Eksekutif Perubatan NMSC Dr Tan Sian Kong berkata, terapi robotik itu merangkumi fisioterapi dan terapi di pusat pemulihan dengan menambah baik, menyokong, mengembangkan dan menjana semula fungsi tubuh pesakit.

Menurutnya, biarpun kaedah pemulihan konvensional berkesan, ia selalunya mengambil masa lama untuk pemulihan pesakit dan mendorong kekecewaan serta kekurangan motivasi.

“Kami ingin mencari cara lain untuk menjadikan proses pemulihan lebih cepat dan menyeronokkan untuk pesakit,” katanya ketika melancarkan perkhidmatan terapi robotik pertama di Malaysia Timur di NMSC, baru-baru ini.

Perkhidmatan pemulihan tersebut menggunakan robot boleh pakai untuk menyediakan terapi menarik dan interaktif untuk pesakit.

TINGKATKAN MOTIVASI

Menerusi terapi robotik ini, pesakit boleh melihat kemajuan dan penambahbaikan diri untuk memastikan mereka bermotivasi meneruskan program pemulihan mereka. 

Menurut Tan, NMSC komited menampung lebih ramai pesakit dan peralatan termasuk rangkaian perkhidmatan untuk rawatan lebih luas.

“Kami faham pemulihan merupakan bahagian kritikal dalam proses penyembuhan.

Oleh itu, kami ingin memastikan pesakit mendapat akses kepada penjagaan terbaik.

“Pasukan kami terdiri daripada ahli terapi berkemahiran tinggi dan bertauliah terus meneroka rawatan baharu dan inovatif untuk meningkatkan pemulihan pesakit,” katanya.

Dengan elektrod dilekatkan pada permukaan kulit pesakit, peranti robotik ini menganalisis pergerakan pesakit ingin lakukan dan membantu bergerak sehingga pulih.

Difahamkan, NMSC menawarkan tiga jenis peranti HAL iaitu bahagian anggota bawah badan, jenis sendi tunggal dan bahagian bawah belakang badan.

Sementara, Eksekutif Pusat Rehabilitasi Perkeso Datuk Dr Hafez Hussain berkata, teknologi terkini dari Jepun ini membolehkan pesakit mendapatkan rawatan terbaik dan mempercepat tempoh pemulihan.

Ujarnya, rawatan ini memberi peluang kepada pesakit akibat kemalangan, kelumpuhan atau penyakit kronik mendapatkan rawatan seawal mungkin sekali gus membolehkan mereka kembali bergerak bebas.

Tambah beliau, sejak diperkenalkan pada September tahun lalu, seramai 40 pesakit dari Sarawak mendapat manfaat daripada teknologi neuro robotik ini — 18 daripadanya berjaya kembali bekerja mahupun memulihkan fungsi pada diri masing-masing.

KELEBIHAN PENCARUM

Sehubungan itu, kelayakan pertama untuk mendapatkan rawatan pemulihan itu hendaklah merupakan pencarum Perkeso perlindungan skim bencana pekerjaan yang terlibat dalam kemalangan sama ada di tempat kerja, ketika pergi atau pulang dari tempat kerja.

Rawatan pemulihan ini juga layak untuk mereka yang mempunyai penyakit kronik di bawah perlindungan Skim Keilatan.

Untuk rekod, Pusat Pakar Pakar Perubatan Normah menjadi pusat perubatan tunggal yang menyediakan terapi robotik, selain daripada jenis rehabilitasi biasa seperti fisioterapi, terapi pekerjaan, pertuturan dan kanak-kanak. 

Beliau berharap agar lebih banyak pesakit dari Sarawak menunjukkan kesan positif susulan menjalani terapi tersebut.

“Melihat keadaan di Sarawak, separuh daripada jumlah ini dikaitkan dengan kelumpuhan akibat kemalangan atau kecederaan, manakala separuh lagi akibat penyakit kronik.

“Kita bangga melihat kejayaan yang diperoleh menerusi perkhidmatan ini, khususnya melihat proses pemulihan pesakit,” katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan kepentingan kerjasama antara pihak jabatan awam atau swasta agar komited memperluas perkhidmatan demi keperluan pesakit ini.

“Pada masa yang sama, perkhidmatan digunakan menerusi HAL ini dapat mempercepat tempoh pemulihan rawatan serta mengurangkan kos pembiayaan,” ujarnya.

Beliau turut meluahkan harapan agar hospital Normah terus menggunakan teknologi terkini yang ditawarkan oleh pihaknya.

“Kita sudah mempunyai produk baharu iaitu Pediatrik Versi dan kini sudah berada di Kuala Lumpur sejak November tahun lepas.

“Kajian sedang dibuat dan kita berharap agar hasil kajian dapat dikeluarkan sebelum Hari Raya supaya dapat dibawa ke Hospital Normah,” kongsinya.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU

ASEAN perlu perkukuh kesiapsiagaan ancaman biologi

MIRI: Latihan simulasi rentas sempadan ASEAN perlu merangkumi senario ancaman biologi di luar jangkaan bagi menguji kesiapsiagaan negara anggota serta keupayaan agensi berkaitan menyelaraskan tindakan