KESUKARAN mendapatkan bahan mentah dan proses pembuatan yang memerlukan ketelitian menjadi antara cabaran utama bagi mengekalkan seni pembuatan terendak tradisional Melanau yang semakin kurang diusahakan.
Bagi seorang pembuat terendak, Johnny Anthony, 40, minat mendalam terhadap seni warisan itu mendorongnya mempelajari kemahiran menghasilkan terendak, meskipun menyedari bahawa proses pembuatannya bukan mudah.
Beliau yang mula menghasilkan terendak sejak tiga tahun lalu berkata, minat itu timbul daripada rasa ingin tahu tentang cara terendak dihasilkan, selain tertarik dengan harga jualannya yang agak tinggi.
“Rasa ingin tahu tentang proses penghasilan terendak ini mendorong saya mengikuti kursus untuk mempelajari kemahiran berkenaan.

“Sejak itu, saya mula mendalami setiap peringkat pembuatan terendak, daripada penyediaan bahan mentah hingga menghasilkan produk yang boleh digunakan,” katanya kepada Suara Sarawak.
Walaupun baru tiga tahun berkecimpung dalam bidang tersebut, Johnny mengakui pembuatan terendak memerlukan kesabaran, ketelitian dan kemahiran khusus bagi memastikan hasilnya berkualiti.
Menurutnya, antara keistimewaan terendak yang dihasilkannya terletak pada susunan bahan di bahagian lingkarannya tepi yang memberikan bentuk tersendiri kepada hasil akhir.
Selain itu, terendak berkenaan juga mempunyai ciri fizikal yang agak tebal dan berat, sekali gus membezakannya dari segi penampilan dan proses pembuatannya.
“Bagi menghasilkan sebuah terendak, beberapa bahan utama diperlukan, termasuk rotan, buluh, daun dan cat.
“Kebanyakan bahan berkenaan diperoleh sendiri di kawasan hutan, bergantung pada ketersediaan sumber yang diperlukan,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, Johnny berkata, usaha mendapatkan bahan mentah bukan sesuatu yang mudah, terutamanya apabila sumber berkenaan sukar ditemukan di kawasan berhampiran.
Katanya, keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa mendapatkan sebahagian bahan dari luar kawasan bagi memastikan proses pembuatan dapat diteruskan.
Tambahnya, bekalan bahan mentah juga bergantung pada musim serta keadaan pasang surut air, sekali gus mempengaruhi kelancaran proses penghasilan terendak.
Menyentuh tentang tempoh pembuatan, katanya, sebuah terendak lazimnya mengambil masa antara empat hingga lima hari untuk disiapkan, bergantung pada keadaan dan ketersediaan bahan mentah.

“Tempoh itu merangkumi beberapa peringkat kerja yang perlu dilakukan dengan teliti sebelum terendak dapat disiapkan sepenuhnya.
“Proses paling mencabar dalam pembuatan terendak ialah penyediaan bahan mentah khususnya mengikis kulit buluh dan rotan sebelum bahan tersebut dapat digunakan.
“Bahan yang diproses kemudiannya perlu dijumur bagi memastikan bahan tersebut sesuai digunakan dalam proses pembuatan seterusnya.
“Selepas itu, kerja mengecat turut dilakukan bagi melengkapkan penghasilan terendak mengikut reka bentuk yang ditetapkan,” katanya.
Jelas Johnny, setiap peringkat memerlukan perhatian kerana penyediaan bahan yang kurang sempurna boleh menyukarkan proses seterusnya.
Dari segi pengeluaran, beliau tanpa hingga 10 entara lapan hingga 10 terendak sebulan, bergantung pada bekalan bahan mentah dan kelancaran proses pembuatannya.

Jumlah itu turut dipengaruhi oleh masa yang diperlukan untuk menyediakan bahan mentah dan menyiapkan setiap terendak.
Tambahnya, corak dan reka bentuk terendak yang dihasilkannya adalah sama, dengan keunikan yang terserlah melalui susunan bahan dan ciri pembuatannya.
Dalam pada itu, Johnny mengakui minat generasi muda untuk mempelajari seni pembuatan terendak masih rendah, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesinambungan kemahiran tradisional tersebut.
Keadaan itu menjadi antara cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan kemahiran berkenaan tidak terhenti pada generasi pengusaha sedia ada.

Meskipun berdepan dengan pelbagai kekangan, beliau berkata, sambutan terhadap terendak dalam kalangan masyarakat tempatan dan pelancong amat memuaskan.
“Sambutan ini menunjukkan terendak masih mendapat tempat dalam masyarakat, namun bilangan pembuat yang mengusahakannya semakin berkurangan.
“Apabila melihat orang ramai, khususnya generasi muda, masih memakai terendak, hal itu menjadi petanda bahawa warisan tersebut terus dihargai meskipun tidak semua mengetahui cara pembuatannya.
“Ada yang mungkin tidak mempunyai kemahiran menghasilkan terendak, tetapi tetap mengagumi hasil kerja tangan yang memerlukan ketekunan dan pengalaman,” ujarnya.
Johnny berharap agar lebih ramai generasi muda didedahkan kepada seni pembuatan terendak bagi memupuk minat dan keinginan mereka untuk mempelajari kemahiran tersebut.
Tambahnya, usaha melihat golongan muda penting bagi memastikan seni pembuatan terendak terus diwarisi dan tidak pupus ditelan zaman, sekali gus mengekalkan identiti budaya Melanau di Mukah.





