HUJUNG bulan ini, seorang wartawan dan dua subeditor kami akan berhenti kerja untuk berbakti sebagai guru. Mereka menyahut cabaran untuk mendidik anak-anak Sarawak. Malah mereka ini antara yang permohonan mereka untuk menjadi guru pernah diterima sebelum ini. Tahniah kepada mereka.
Saya juga pernah menjadi guru tetapi cuma untuk tempoh dua minggu. Ketika itu, sekitar awal 1997, saya mengajar di sebuah sekolah yang majoriti pelajarnya Cina. Saya bukan guru terlatih, cuma guru ganti.
Bukan mudah untuk orang seperti saya menjadi guru. Baru sahaja tamat tingkatan enam dan tidak pernah langsung mengikuti latihan keguruan. Semuanya bermula apabila saya dan rakan pergi mengisi borang memohon sebagai guru sandaran di Jabatan Pendidikan Sarawak di Jalan Simpang Tiga, Kuching.
Kami berdua cuma sekadar mengisi borang di kaunter. Sebulan lepas itu, saya diterima, kawan saya pula tidak. Saya mengajar Pendidikan Seni untuk tingkatan satu hingga tiga.
Walaupun hanya dua minggu, saya sedar cabaran sebagai guru bukan sedikit. Untuk memastikan pelajar faham yang diajar satu hal. Untuk memastikan pelajar tidak bising di dalam kelas juga satu hal. Atas sebab itu, bukan calang-calang orang boleh menjadi guru.
Dan, saya sangat gembira jika ada rakan-rakan yang diterima menjadi guru. Lagi pula kedua-dua anak saya juga memasang impian untuk menjadi guru suatu hari kelak selepas melihat anak saudara saya kini diterima mengikuti latihan perguruan.
Pemangkin masa depan negara
Setiap tahun apabila tibanya sambutan Hari Guru — tahun ini disambut esok — masyarakat akan kembali mengingati jasa guru yang banyak berkorban demi membentuk generasi berilmu dan berakhlak.
Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu di dalam bilik darjah. Mereka juga pembimbing, penasihat, pakar motivasi dan kadangkala menjadi tempat pelajar meluahkan masalah.
Dan, dalam dunia yang semakin mencabar kini, tugas guru semakin berat, namun pengorbanan mereka sering penuh dedikasi dan keikhlasan.
Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyatakan bahawa guru ialah pembina bangsa dan negara. Ungkapan ini jelas menggambarkan betapa pentingnya peranan guru menentukan hala tuju masyarakat. Tanpa pendidikan yang baik, sesebuah negara sukar untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran.
Pepatah Melayu pula ada menyebut, guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Walaupun ungkapan ini sudah lama digunakan dan mungkin dikatakan klise, hakikatnya peranan guru tetap relevan sepanjang zaman.
Di tangan guru lahirnya doktor, jurutera, saintis, peguam, ahli perniagaan dan pemimpin. Tanpa guru, mustahil seseorang itu mampu mengenal huruf, memahami ilmu dan membina kehidupan yang lebih baik.
Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pula pernah menegaskan bahawa pelajaran ialah senjata paling penting untuk mempertahankan masa depan negara. Dalam konteks itu, guru memegang ‘senjata’ paling berharga itu untuk membentuk generasi berilmu dan berdaya saing.
Dan, pada era moden ini, tugas guru tidak lagi terbatas kepada mengajar membaca, menulis dan mengira. Setiap guru digesa menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi pendidikan yang berkembang pesat.
Penggunaan komputer, aplikasi pembelajaran digital dan kecerdasan buatan kini menjadi sebahagian daripada proses pengajaran. Guru perlu sentiasa meningkatkan kemahiran supaya dapat menyampaikan ilmu dengan lebih menarik dan berkesan kepada generasi baharu yang sangat dekat dengan dunia digital.
Di sebalik perubahan teknologi, cabaran guru juga semakin kompleks. Mereka bukan sahaja berdepan dengan tugas mengajar, malah perlu mengurus pelbagai urusan pentadbiran, laporan dan aktiviti sekolah.
Dalam masa yang sama, perlu memastikan prestasi akademik pelajar terus meningkat. Ada guru yang terpaksa berhadapan dengan masalah disiplin pelajar serta tekanan daripada ibu bapa dan masyarakat yang mengharapkan keputusan cemerlang daripada sekolah.
Bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela pernah berkata, pendidikan ialah senjata paling ampuh yang boleh anda gunakan untuk mengubah dunia. Kata-kata ini membuktikan bahawa pendidikan mempunyai kuasa besar untuk mengubah kehidupan manusia. Jadi, guru ialah individu paling penting untuk menjayakan perubahan itu.
Komited
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, ramai guru tetap komited menjalankan tugas. Di bandar mahupun pedalaman, guru terus berusaha memastikan setiap pelajar mendapat peluang pendidikan yang sempurna.
Masih ada guru yang sanggup meredah sungai, melalui jalan balak dan tinggal jauh daripada keluarga demi mendidik anak bangsa. Pengorbanan seperti ini jarang mendapat perhatian umum, namun amat besar nilainya.
Selain menyampaikan ilmu, guru juga berperanan penting membentuk sahsiah pelajar. Nilai hormat-menghormati, disiplin, tanggungjawab dan semangat patriotisme banyak diterapkan oleh guru sejak di bangku sekolah.
Malah, ramai individu berjaya mengakui kata-kata dan dorongan seorang guru menjadi pembakar semangat untuk mereka mencapai kejayaan dalam hidup.
Hubungan antara guru dengan pelajar juga mempunyai nilai sentimental yang sukar dilupakan. Ada guru yang masih diingati walaupun berpuluh-puluh tahun sudah berlalu.
Cara mereka mengajar, nasihat yang diberikan dan kasih sayang yang ditunjukkan meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupan pelajar.
Tidak hairanlah ramai bekas pelajar sanggup kembali ke sekolah semata-mata untuk bertemu dan mengucapkan terima kasih kepada guru yang pernah mendidik mereka.
Hari Guru bukan sekadar sambutan tahunan dengan acara nyanyian, hadiah dan ucapan penghargaan. Lebih penting, sambutan ini menjadi ruang menghargai pengorbanan guru secara lebih bermakna.
Menghormati guru tidak sepatutnya berlaku hanya pada hari tertentu, sebaliknya perlu diamalkan sepanjang masa. Ibu bapa juga perlu bekerjasama dengan guru memastikan pendidikan anak-anak berjalan dengan baik.
Sesungguhnya, guru ialah insan yang membina asas tamadun sesebuah negara. Mereka mendidik dengan sabar, membimbing tanpa jemu dan berkorban tanpa mengharapkan balasan.
Sempena Hari Guru ini, marilah kita sama-sama menghargai jasa guru yang banyak menabur bakti kepada masyarakat dan negara.
Ucapan “Selamat Hari Guru” mungkin ringkas, namun penghargaan yang tulus mampu memberi makna besar kepada insan yang bergelar pendidik.



