ARTIKEL

Uggah (kiri) dan Premier tiba di Kompleks DUN Sarawak. (GHAZALI BUJANG)

Terima Sijil Bersih bagi Akaun Awam Negeri Kali ke-23

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak sekali lagi memperoleh Sijil Bersih bagi Akaun Awam Negeri untuk Tahun Kewangan 2024, menjadikan pencapaian itu kali ke-23 berturut-turut. Rekod ini mengekalkan konsisten lebih dua dekad dan membuktikan keteguhan tadbir urus negeri, pengurusan kewangan berhemat dan integriti institusi kewangan awam Sarawak.

Timbalan Premier merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pencapaian luar biasa itu mencerminkan dedikasi, profesionalisme dan komitmen tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh seluruh jentera pentadbiran negeri.

“Saya amat berbesar hati memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini bahawa negeri sekali lagi menerima Sijil Bersih bagi Akuan Awam untuk Tahun Kewangan 2024.

“Mengekalkan pencapaian ini selama lebih dua dekad merupakan manifestasi keteguhan komitmen, profesionalisme dan usaha berterusan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 di sini, semalam.

Menurutnya, rekod ini membuktikan bahawa Sarawak mengamalkan prinsip fiskal yang kukuh serta mempunyai budaya tadbir urus yang mantap dan dipercayai.

Beliau juga memaklumkan bahawa Kajian Komprehensif mengenai Cadangan Pelan Hala Tuju ke Arah Kemandirian Kewangan dan Transformasi Badan Berkanun serta GLC Negeri bagi 2026–2030 telah dimulakan.

“Kajian yang melibatkan beberapa Program Transformasi dan Reformasi Perusahaan Milik Negeri (SOE) terpilih ini bertujuan mewujudkan laluan terancang untuk mengurangkan kebergantungan mereka kepada Kerajaan Sarawak sambil mengukuhkan daya tahan operasi serta daya saing komersial.

“Hasil penemuan dan syor daripada kajian ini dijangka siap pada suku pertama tahun 2026, yang akan menyokong pelaksanaan berkesan Dasar Pemilikan Negeri serta Kod Tadbir Urus Korporat yang baharu, memastikan SOE kita berada dalam kedudukan terbaik untuk berkembang dalam persekitaran yang lebih kompetitif dan berdikari,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan bahawa, pelaporan kewangan sektor awam akan diperkukuhkan melalui pelaksanaan berperingkat Malaysian Public Sector Accounting Standards (MPSAS) oleh semua Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Pelaksanaan MPSAS akan memastikan penyata kewangan lebih tepat, telus dan meningkatkan akauntabiliti.

“Peralihan ini amat penting kerana ia memberikan gambaran lengkap mengenai aset, liabiliti serta obligasi jangka panjang, sekali gus menyokong disiplin kewangan lebih kukuh, perancangan lebih baik dan keputusan dasar lebih tepat,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU