KUCHING: Dua pingat emas setakat ini merupakan pencapaian bermakna dalam Sukan Malaysia (SUKMA) terakhir buat saya.
Demikian kata atlet petanque Sarawak Farid Amirul Muhamad, 21 selepas berjaya meraih dua pingat emas dalam kategori perseorangan lelaki dan bertiga lelaki.

Menurut anak kelahiran Kampung Semera Hilir, Sadong Jaya, peluang menyertai SUKMA kali ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk meraih kejayaan.
“Dalam SUKMA yang lalu saya tidak melepasi peringkat pilihan akhir dan tidak berpeluang menyertainya, alhamdulillah kali ini saya berjaya menyertai SUKMA sekali gus membuktikan kebolehan.
“Saya sangat bersyukur kerana dapat meraih dua pingat emas dalam SUKMA terakhir saya ini dan berharap agar rakan lain turut meraih kejayaan bersama-sama,” katanya.
Farid berkata demikian ketika ditemui selepas menerima anugerah pingat emas bagi kategori bertiga lelaki di Arena Petanque Santubong, di sini, hari ini.


Farid bersama-sama dengan Abdul Harith Oris dan Aniq Ashraf Mohamad Hafizul telah berentap dalam kategori bertiga lelaki dalam perlawanan akhir sekali gus berjaya menewaskan Kelantan dengan mata 10-5.
Menjelas mengenai perlawanan itu, kata Farid, tidak dinafikan ia sangat mencabar kerana mereka berhadapan dengan pasukan yang kuat.
“Lawan tetap lawan, kami cuba sedaya upaya untuk mengalahkan lawan dan apa yang penting adalah kerjasama serta kepercayaan dalam pasukan.
“Saya akan menyertai kategori berpasukan selepas ini dan ia juga yang terakhir, saya berharap agar terus meraih kemenangan,” ujarnya.



