Kumpulan alternatif rock terkenal dari Amerika Syarikat, The Neighbourhood, bakal mengadakan konsert di Malaysia menerusi jelajah dunia mereka, “THE WORLD TOUR”, yang dijadual berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 16 Julai depan.
Konsert tersebut dianjurkan oleh Row One Asia bersama SAH Entertainment merupakan sebahagian daripada siri jelajah Asia kumpulan itu selepas mengadakan persembahan di Singapura sebelum meneruskan jelajah ke Jakarta dan Seoul.
Menurut maklumat rasmi konsert, persembahan itu akan berlangsung pada jam 8.00 malam di Mega Star Arena yang dijangka menghimpunkan ribuan peminat muzik indie dan alternatif tempatan.
Tiket konsert dijual pada harga bermula RM398 bagi kategori General Standing, manakala kategori CAT1 pula berharga sehingga RM688.
Peminat juga dijangka disajikan dengan lagu popular seperti Sweater Weather, Daddy Issues, Softcore dan Reflections, selain beberapa lagu daripada album terbaharu mereka, Ultrasound.
Kehadiran semula The Neighbourhood ke Malaysia turut mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat di media sosial, lebih-lebih lagi selepas kumpulan itu kali terakhir mengadakan persembahan di negara ini sekitar 2018 menerusi festival Good Vibes.
Di platform Reddit, ramai peminat tempatan dan antarabangsa berkongsi keterujaan untuk menghadiri konsert tersebut, termasuk ada yang merancang perjalanan solo ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menyaksikan persembahan kumpulan berkenaan secara langsung.
The Neighbourhood dikenali dengan identiti muzik yang menggabungkan elemen alternatif rock, indie pop dan R&B moden.
Sejak ditubuhkan pada 2011, kumpulan itu berjaya membina pengaruh besar dalam industri muzik antarabangsa menerusi konsep visual gelap serta lagu beremosi yang dekat dengan generasi muda.

Khir Rahman kembali ke pentas teater Istana Budaya
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah tersohor, Khir Rahman kembali beraksi di pentas teater selepas hampir sedekad menerusi pementasan Teater Muzikal Kanak-Kanak Pengembaraan Sang Kancil di


