KUCHING: Tiada alasan bagi pemilik haiwan peliharaan untuk tidak memberi vaksin anti-rabies kepada haiwan peliharaan masing-masing, kata Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng.
Beliau menegaskan bahawa pemilik haiwan perlu memainkan peranan masing-masing kerana penyakit rabies boleh dicegah sepenuhnya, dan kerjasama semua pihak amat penting untuk menamatkan penularannya.
“Laksanakan tanggungjawab anda sebagai pemilik dan bekerjasama dengan kami agar dapat mengurangkan jumlah mangsa rabies,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program vaksinasi antirabies, pelesenan anjing, pemasangan mikrocip, dan pemandulan bersubsidi anjing di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini.
Menurutnya, pihaknya telah memberikan masa yang cukup dengan melaksanakan pelbagai program kesedaran serta mengetatkan peraturan, namun masih ada segelintir masyarakat yang mengambil ringan isu ini.
“MBKS telah meningkatkan kekerapan program vaksinasi kepada lima kali setahun bermula tahun ini kerana vaksinasi bukanlah suntikan sekali seumur hidup. Oleh itu, langkah ini dilaksanakan supaya pemilik tidak akan terlepas sesi dan mereka mempunyai pilihan untuk melakukannya sedikit lebih awal atau lewat asalkan haiwan peliharaan divaksin setiap tahun,” jelasnya.
Mengulas mengenai program kesedaran iaitu Pet Walk, beliau berkata program itu menjadi platform untuk mendidik masyarakat memupuk sikap menyayangi haiwan.
“Melalui program ini, orang awam tidak perlu menjauhkan diri ketika melihat haiwan peliharaan orang lain, sama ada anjing atau kucing kerana haiwan itu boleh dan perlu disayangi,” ujarnya.



Presiden Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SSPCA) Sarawak, Datin Donna Drury-Wee, turut menyahut gesaan tersebut dan menekankan bahawa vaksinasi amat penting demi keselamatan keluarga dan orang awam.
“Jika haiwan peliharaan anda divaksin, anda tidak perlu risau tentang keselamatan keluarga anda, dan jika anda tidak mahu bilangan haiwan di rumah semakin bertambah, jalankan proses pemandulan,” tegasnya.
Menurut beliau, SSPCA telah memeterai perjanjian bersama pembekal vaksin antarabangsa, Boehringer Ingelheim, bagi menyediakan bekalan vaksin.
“Dengan kerjasama pihak berkuasa dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS), kami akan menawarkan vaksin rabies kepada kucing secara percuma kerana semua haiwan juga berhak menerima perlindungan daripada rabies,” ujarnya.
SSPCA kini turut menjalankan kempen pemandulan dengan sokongan geran daripada Yayasan Hasanah, yang melibatkan kucing dan anjing betina.
“Proses pemandulan dan vaksinasi itu akan ditawarkan secara percuma dan ditaja oleh pihak pembekal, tetapi kami akan mengumpul yuran pendaftaran sebanyak RM20 bagi kucing dan RM70 bagi anjing untuk memastikan pemilik benar-benar hadir,” katanya.
Untuk rekod, program hari ini mendapat sambutan hangat dengan sebanyak 80 anjing peliharaan telah diberi vaksin anti-rabies serta 50 lesen anjing telah diberikan, mencerminkan keprihatinan pemilik haiwan peliharaan.



