APAKAH yang telah dicapai oleh anggota kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Kerajaan Perpaduan dalam tempoh setahun lalu?
Benarkan tiada pencapaian yang membanggakan di bawah kepimpinan beliau?
Atau itu sekadar tanggapan dan pengitlakan atau generalisasi? Kalau ditanya pemimpin pembangkang, tentu kita sudah tahu naratif dan jawapan mereka.
Namun, kita perlu menjawab soalan itu dengan objektif dan jujur.
Perdana Menteri pada minggu lepas memberi peringatan kepada semua anggota kabinet termasuk yang baru dilantik bahawa tidak ada tempoh untuk berbulan madu. Sebaliknya kabinet baharu itu perlu terus menjalankan tugas menyelesaikan masalah rakyat.
Dari satu segi, rombakan kabinet yang dilakukan itu selepas setahun memerintah ialah susulan pelbagai komen negatif rakyat dan pembangkang yang menyifatkan kabinet sebelum itu tidak efisien dan tidak berfungsi dengan baik.
Justeru, PMX tiada pilihan melainkan perlu melakukan rombakan.
Rombakan yang pada awalnya dijangka sekadar satu rombakan kecil, sebenarnya bukan kecil.
Rombakan itu bukan sekadar seolah-olah menukarkan kedudukan perabot di dalam rumah, tetapi lebih daripada itu, termasuk mengecatkan semula perabot dan menggantikannya dengan perabot baharu.
Tujuannya supaya perabot yang ada di dalam rumah diletak pada kedudukan yang sesuai, rumah kelihatan indah dan perabot itu dapat memainkan peranan yang lebih baik.
Maksudnya, satu rombakan strategik dengan meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat sebagai paksi utama.
Kabinet baharu ini perlu segera menjalankan tugas dengan pantas dan berkesan. Mereka perlu bekerja secara berpasukan.
Setiap menteri perlu menyumbang ke arah merealisasikan impian dan agenda Anwar dan Kerajaan Perpaduan. Apakah yang harus menjadi keutamaan kepada kabinet ini?
Adakah mereka mampu memenuhi aspirasi rakyat, dan menyelesaikan isu dan masalah yang membelenggu rakyat dan negara ketika ini dan pada tahun-tahun mendatang?
Mampukah kabinet itu menoktahkan kemiskinan tegar seperti yang disasarkan oleh PMX?
Mampukah mereka memacu pertumbuhan negara dan meningkatkan kualiti pendidikan dan perkhidmatan kesihatan di negara ini?
Mereka perlu bekerja dengan penuh integriti atas prinsip tatakelola atau tadbir urus yang baik yang ditekankan oleh PMX bagi memulihkan imej negara di mata dunia.
Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala timbalan menteri bertambah daripada 27 kepada 29, sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang.
Ketika menjadi pembangkang dahulu, Anwar sering mengkritik langkah Perdana Menteri terdahulu yang mempunyai kabinet yang besar.
Tetapi kini saiz kabinet beliau juga besar.
Rakyat berharap kabinet baharu ini dapat membawa perubahan signifikan dalam arah pembangunan negara ketika berdepan dengan cabaran geopolitik global.
Kabinet ini dianggotai oleh wakil dari pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang profesional sekali gus menunjukkan kesamarataan dan kepelbagaian yang diutamakan dalam penubuhan kabinet ini.
Dalam menyelaraskan dasar-dasar ekonomi, kabinet ini menitikberatkan kepada peningkatan kebolehpercayaan pelabur dan memperkasa ekonomi rakyat.
Amat penting untuk kabinet ini terus berupaya menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik.
Ahli kabinet yang terpilih mempunyai latar belakang yang kukuh dalam kewangan, perniagaan dan teknologi yang dijangka akan memainkan peranan penting dalam membawa Malaysia ke tahap ekonomi yang lebih baik.
Selain itu, kabinet ini juga perlu menumpukan kepada isu-isu alam sekitar dan kelestarian, dengan menyediakan strategi komprehensif untuk mengatasi cabaran-cabaran alam sekitar semasa.
Hal ini dapat dilihat dari segi kementerian baharu yang diwujudkan.
Langkah-langkah untuk mengurangkan penggunaan bahan api fosil dan meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui pasti menjadi tumpuan utama kabinet ini dalam usaha untuk menyelamatkan alam sekitar bagi generasi akan datang.
Sudah tentu menjadi harapan rakyat agar kabinet ini dapat mengurangkan kadar inflasi dan kos sara hidup.
Pengukur utama ialah sejauh mana kesannya terhadap rakyat.
Adakah rakyat dapat membeli barang pada kadar harga yang munasabah atau wang dalam kocek mereka semakin mengecut?
Harga barang-barang keperluan asas termasuk minyak, telur, ayam dan beras perlu dalam keadaan terkawal, dan bekalannya sentiasa mencukupi.
Rakyat mudah resah kalau masalah berkenaan tidak ditangani dengan berkesan.
Kabinet ini dianggotai oleh wakil-wakil dari pelbagai kumpulan etnik dan agama, mencerminkan semangat kesatuan dan perpaduan dalam masyarakat Malaysia yang pelbagai.
Kabinet ini berkomitmen untuk memperkasakan dialog antara kumpulan ini untuk memastikan keharmonian dan keamanan di seluruh negara.
Anwar pasti berusaha untuk menangani isu berkaitan dengan tuntutan Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963. Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikan semua perkara berbangkit berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sejauh manakah pencapaian beliau dalam hal ini? Kita perlu mengakui hakikat bahawa meskipun mentadbir negara setahun, Kerajaan Perpaduan berjaya menyelesaikan pelbagai isu dan perkara di bawah MA63 dengan lebih pantas.
Sudah pasti isu berkaitan MA63 tidak lagi dapat ditangguhkan kalau ia tidak mahu dimanipulasikan dalam kempen menjelang PRN Sarawak dan PRU yang akan datang.
Lagipun, kita perlu segera menyelesaikan isu berkenaan, kerana isu ini bak duri dalam daging.
Kita telah terperangkap dalam isu ini untuk puluhan tahun.
Kita perlu bergerak ke hadapan untuk membina sebuah negara yang bersatu padu dan sebuah negara bangsa yang mantap dan dihormati selepas isu berkenaan selesai secara tuntas nanti.
Komitmen dan keikhlasan politik dan keterbukaan sikap amat penting dalam perundingan dan penyelesaian isu berkenaan Bagaimanapun, seperti mana kabinet mana-mana negara, kabinet ini mungkin menghadapi cabaran dan kritikan.
Oleh itu, adalah penting untuk memastikan terdapat mekanisme yang kukuh untuk menilai prestasi kabinet dan memastikan akauntabiliti di semua peringkat. Juga, kabinet ini perlu dapat berkomunikasi dengan rakyat dengan berkesan.
Ya, dengan menggunakan segala agensi dan instrumen yang dimilikinya dengan berkesan.
Dengan pengenalan kabinet baharu ini, harapannya adalah agar Malaysia dapat mencapai kemajuan yang lebih besar, lebih adil, dan lebih berkekalan.
Semua rakyat Malaysia diharapkan memberikan sokongan dan kerjasama kepada kabinet ini dalam usaha mereka untuk membawa negara ke arah kegemilangan yang lebih besar.
Kabinet ini perlu diberi peluang untuk bertindak dan membuktikan mereka berjaya menangani isu dihadapi rakyat dan negara. Ingat, anda tidak punya masa untuk berbulan madu.
Anda harus terus bekerja dengan cekap dan jujur.
Rakyat berharap anda berjaya membawa negara ini ke hadapan untuk kemudiannya menjadi kebanggaan kita semua.
• Dato Dr Jeniri Amir ialah penulis prolifik, penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.



