PETALING JAYA: Pengarah teater Puan Seri Tiara Jacquelina menjanjikan persembahan terbaik menerusi Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL) 2026 yang akan dipentaskan dari 31 Okt sehingga 15 Nov ini.
Bertempat di The Grand Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway City, pementasan yang menelan kos jutaan ringgit itu menyaksikan 23,000 tiket habis dijual dalam dua jam.

Pada PGL – Exclusive Media Session di sini, Tiara yang mengakui dirinya lebih cerewet berbanding mana-mana penonton menegaskan PGL tidak akan dipentaskan selagi belum sempurna dan tiada tandingannya di Malaysia seperti dilapor Bernama.
Kesungguhan yang sama turut ditunjukkan pelakon watak Majapahit yang membiayai sendiri perjalanan ke Solo, Indonesia, demi menyelami budaya purba itu walaupun produksi sudah membawa jurulatih khas dari sana.
Bagi menghidupkan setiap babak, kesemua 50 pelakon yang muncul di pentas dibekalkan nama, peranan dan latar belakang watak tersendiri, sekali gus tiada seorang pun sekadar menjadi penari latar.
Aqasha, yang kini memegang watak Hang Tuah, pula berkata peranan itu mempunyai dimensi lebih mendalam berbanding ketika beliau menjadi pelakon pengganti pada usia 24 tahun, dua dekad lalu.
Turut beraksi ialah Aisha Retno dan Mila Mohsin sebagai Gusti Putri Retno Dumilah, Mimi Fly dan Nadia Aqilah sebagai Bayan, Luqman Hafidz sebagai Sultan Melaka dan Yusuf Hashim sebagai Gusti Adipati.




