MIRI: Taktik menyembunyikan dadah di dalam minuman di sebuah pusat hiburan di Jalan Maju, di sini terbongkar apabila polis merampas segelas jus disyaki mengandungi methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dalam serbuan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu turut membawa kepada penahanan tiga pelanggan selepas pemeriksaan mendapati mereka dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
“Seramai lima individu terdiri daripada lelaki dan wanita diperiksa dalam operasi yang dijalankan di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan di sebuah bilik menemui sebuah gelas kecil berisi kira-kira 20 mililiter cecair jus yang disyaki mengandungi dadah jenis MDMA.
Katanya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas tiga pelanggan terbabit turut mendapati mereka positif dadah.
Menurut beliau, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kejayaan operasi ini hasil maklumat dan kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat kepada polis berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah di premis hiburan.
“PDRM akan terus mempergiat operasi pemantauan dan penguatkuasaan di pusat hiburan bagi membanteras penyalahgunaan serta pengedaran dadah, selain memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan atau pengedaran dadah supaya menghubungi Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211 bagi membantu siasatan.



