Tiga maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Sri Aman-Kuching

SIMANGGANG: Dua beradik dan seorang nenek dari Rh. Snap Sabar Asal, Debak antara yang maut dalam kemalangan ngeri melibatkan tiga kenderaan di KM 28 Jalan Sri Aman-Kuching, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintendan Bingkok John memberitahu, enam sekeluarga itu menaiki kereta jenis Proton Saga BLM bergerak dari arah Sri Aman ke Kuching.

“Siasatan awal mendapati, kenderaan anak-beranak itu dilanggar oleh sebuah lori jenis Sino Truck dari arah hadapan yang secara tiba-tiba hilang kawalan,

“Pada masa yang sama, lori jenis Hino yang berada di belakang mangsa turut gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Jelasnya, mereka yang maut di tempat kejadian dikenali Dexster Unggang Yong, 9, Macthilda Churai Yong, 5 dan Manyi Nubong, 70 tahun. Kesemua mereka duduk di bahagian belakang.

Sementara, pemandu Alvon Maxwell Yong, 36 seorang pembantu tadbir mengalami cedera ringan dan isteri Wani Imban, 30 serta anak bangsu mereka Alexster Bugin Yong berusia setahun 11 bulan dilaporkan cedera parah. Kesemua mereka dikejarkan ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut.

Beliau juga menjelaskan pemandu kedua-dua lori yang masing-masing berasal dari Melugu dan Sarikei tidak mengalami sebarang kecederaan.

Terdahulu Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tiga Sri Aman PgB Nik Muhammad Afiq Nik Roslan menjelaskan, pasukannya bertindak mengeluarkan keenam-enam mangsa yang tersepit.

Polis menyiasat lanjut kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Suara Sarawak