Bercerita titik mula Tent House, pengasasnya Sharifah Nur Shahira, 27, mengakui ia lebih kepada hobi masa lapang selepas mengajar atau pada hujung minggu bersama keluarga.
“Jadi ketika trend berkhemah semakin mendapat sambutan, saya pun terfikir, kenapa tidak kita mulakan perniagaan yang menawarkan perkhidmatan sewa khemah.
“Jika di Semenanjung, memang banyak perkhidmatan sedemikian, tetapi di Kuching tidak ramai, hanya segelintir, maka dari situ menjadi detik permulaan kepada Tent House,” katanya.
Tanpa diduga, rahmat Allah itu luas, perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan itu mendapat sambutan menggalakkan.
CUBAAN
“Secara kecil-kecilan, kita tawarkan sewa khemah, meja dan kerusi serta peralatan lain, walaupun di Sarawak tidak ramai yang ada menawarkan perkhidmatan ini, kami mengambil langkah mencuba sesuatu yang baharu, Alhamdulillah, mendapat sambutan,” katanya.
Menariknya, hobi yang dilakukannya itu berjaya mencetuskan inspirasi sekali gus menjadikan perkhemahan antara aktiviti kegemaran sejak 2022 menjana sumber pendapatan tambahan.
“Perkhemahan sebenarnya masih baharu dalam riadah saya, sebelum ini kira kerap melakukan aktiviti mendaki gunung dan kembara hutan.
“Apabila beralih kepada aktiviti ini, media sosial juga memainkan peranan penting untuk kita mempromosikan perkhidmatan ini.
“Kebanyakan pelanggan Tent House dari media sosial terutama pengguna Facebook,” jelasnya.
Berbicara soal cabaran, dalam mana-mana bidang sekalipun, tidak akan terlepas daripada cabaran yang datang, lebih-lebih lagi perniagaan, terutama apabila berurusan dengan pelanggan.
Perniagaan yang diusahakan bersama-sama suaminya Awang Zaim Izdihar itu juga mempunyai cabaran dan risiko dari segi kerosakan barang yang disewa.
“Inilah bahagian yang paling mencabar sebenarnya, apabila pelanggan memulangkan barangan yang disewa, kita cuci dan dapati barang rosak.
GANTI RUGI
“Perkara ini lumrah dalam perniagaan, namun kita mesti menguruskan dengan bijak dan sabar, kita akan periksa terlebih dahulu barangan yang dihantar, jika terdapat kerosakan, ganti rugi dikenakan.
“Yang paling penting ialah sabar kerana tidak semua pelanggan tahu bagaimana untuk mengendalikan barangan yang disewa,” katanya.
Bagi Awang Zaim Izdihar, 28, yang mengajar di sekolah rendah di Sematan, menyifatkan pengurusan masa sebagai salah satu cabaran dalam perniagaan ini.
“Saya berulang-alik dari Kuching ke Sematan dan kembali ke Kuching setiap hari, apabila sampai di rumah saya mencuci khemah yang dihantar, namun kadangkadang apabila terlalu penat, kita akan cuci pada keesokan hari.
“Tetapi, pemeriksaan keadaan khemah yang dihantar masih perlu dilakukan terlebih dahulu memastikan ia dipulangkan dalam keadaan baik, mungkin agak rumit kerana kita perlu membuka khemah serta peralatan lain satu persatu,” katanya.
Bagi yang ingin berkhemah, boleh melayari akaun Facebook, Tent House Camping Equipment dan Tent House di Instagram.
Di Tent House katanya menawarkan sewaan khemah serta peralatan lain berkualiti tinggi dengan harga berpatutan.
Katanya berkhemah merupakan aktiviti menyeronokkan apatah lagi jika aktiviti itu dilakukan secara berkumpulan bersama-sama rakan karib atau ahli keluarga anda.
Sudah tentu, memerlukan khemah yang besar, selesa dan boleh melindungi diri daripada panas, hujan dan embun pagi yang dingin.
PERALATAN
Tiada peralatan lengkap untuk berkhemah?
Jangan risau, ia tidak menjadi masalah kerana khidmat sewa khemah kini sudah tersedia, Tent House menyediakan semua kelengkapan diperlukan.
Menariknya, ia boleh disewa mengikut keperluan dan bajet anda bagi memudahkan sesiapa yang ingin berkhemah khususnya bagi mereka tidak mempunyai peralatan lengkap dan selesa.
“Kami menyediakan tiga pakej iaitu set penuh – khemah, meja, kerusi, lampu, dapur masak, lampu.
“Untuk set kedua, khemah sahaja dan ketiga khemah berserta dua kerusi dan satu meja untuk pakej bajet.
“Kita juga menyediakan pakej lain termasuk peralatan tambahan seperti kipas, ‘flysheet’ kalis air yang digunakan untuk berlindung dari hujan dan panas matahari.
“Sesiapa yang ingin berkhemah tetapi tiada peralatan boleh menghubungi kami di nombor 0146939252 ataupun boleh layari Facebook, Tent House Camping Equipment untuk mendapatkan gambaran lebih jelas berkaitan peralatan yang disewa,” katanya.






