ARTIKEL

Tradisi makan besar lambang harmoni, meriah di seluruh negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Tradisi “makan besar” sempena sambutan Tahun Baharu Cina dianggap membawa tuah dan kaya dengan nilai melambangkan keharmonian serta kemakmuran, terus dihidupkan bagi meraikan kehadiran Tahun Naga esok.
 
Tinjauan Bernama di beberapa negeri pada malamnya, mendapati masyarakat Tionghua mengambil kesempatan daripada jamuan itu yang diadakan sama ada di rumah atau di restoran, untuk berkumpul dan bertanya khabar bagi mengeratkan hubungan ahli keluarga. 

Di PAHANG, Nur Allyshia Low Kim Choon, 30, berkata, meskipun sudah memeluk Islam, beliau dan suami, Abdul Wafa Mohd Amadzun, 30, tetap menghormati perayaan Tahun Baharu Cina dan menyantuni ayahnya, Low Kim Choon, 52, dan ibunya, Wong Chew Mei, 55, dengan pulang untuk makan besar.

Nur Allyshia, berdarah campuran Cina dan Orang Asli, berharap keharmonian dan keserasian yang terbentuk dalam keluarga mereka itu dapat dikekalkan sampai bila-bila. 

Anak sulung daripada empat beradik itu juga berkata perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia membolehkan masyarakat berlainan agama dan bangsa hidup harmoni dengan mengekalkan identiti masing-masing. 

Di SELANGOR, sebahagian masyarakat Tionghua mengadakan jamuan makan besar sempena Tahun Baharu Cina di restoran dan hotel, namun masih ramai juga yang menyambutnya di rumah. 

Bagi pekerja swasta, Jamunah Cherlynn Goh Siew Wei, 30, kacukan India dan Cina, memilih mengadakan jamuan itu di restoran pada tahun ini kerana keadaan ibunya yang kurang sihat. 

“Biasanya, ibu akan masak pelbagai juadah kombinasi makanan Cina dan India, tetapi sedikit terbatas tahun ini.  Yang penting kami sekeluarga dapat berkumpul dan berkongsi cerita, itu lebih utama,” katanya yang menyambut Tahun Baharu Cina di Bandar Bukit Raja, Klang.

Di PULAU PINANG, pekerja swasta, Chew Shin Hui, 22, berkata makan besar adalah hari yang ditunggu-tunggu kerana dapat berkumpul bersama keluarga dan beliau mahu mengekalkan tradisi itu dalam keluarganya. 

“Sebab ini adalah tradisi kita, saya mahu ia terus kekal diwarisi terutama dalam kalangan golongan muda dan tahun ini jamuan makan besar kami lebih meriah kerana dua abang saya yang bekerja di Singapura pulang meraikan Tahun Baharu Cina,” katanya yang memilih untuk mengadakan jamuan tersebut di rumah.

Di PERLIS, Khoo Sung Sing, 42, berkata tradisi makan besar bersama ahli keluarganya kali ini berbeza sedikit berbanding tahun-tahun lepas kerana diadakan di rumah ibunya di Kuala Sanglang, Arau. 

Dalam masa sama, Khoo berharap sempena kedatangan Tahun Naga ini keluarga kecilnya dilimpahi rezeki dan tuah, selain berasa gembira kerana tidak lama lagi beliau akan mendapat ahli keluarga baharu.

Di JOHOR, majlis makan besar Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon meriah dengan kehadiran kira-kira 30 ahli keluarganya untuk menikmati sajian stimbot di Tongkang Pechah, Batu Pahat.

“Tahun ini sambutan agak meriah berbanding beberapa tahun sebelum ini akibat COVID-19, ramai ahli keluarga boleh pulang dan menghabiskan cuti masing-masing dengan mengunjungi rumah saudara-mara,” katanya.

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU