IPOH: Seorang wanita berusia 21 tahun maut selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di Air Terjun Puncak Jelapang, Meru Raya, semalam.
Mangsa dikenali sebagai P. Sneha, dan orang awam menemui mangsa tersangkut pada batang pokok kira-kira 8.10 pagi tadi.
Lokasi penemuan itu terletak 1.5 kilometer dari tempat mangsa dipercayai mula hanyut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, menjelaskan anggota bomba membawa mangsa ke atas sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut seperti dilapor Bernama.
Operasi itu tamat sepenuhnya kira-kira 9.25 pagi, manakala tiga individu lain berusia lingkungan 20-an, termasuk seorang wanita, terselamat daripada dihanyutkan arus dalam kejadian sama.



