ARTIKEL

Transformasi FAM

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BEKAS penyerang kebangsaan, Dollah Salleh, 61, melakar sejarah, dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam Kongres Tahunan ke-61 FAM pada 16 Februari lalu.

Beliau memecah tradisi, selaku bekas pemain pertama di Malaysia diberi kepercayaan untuk tampil membantu mereformasikan badan induk bola sepak negara yang telah menjangkau usia enam dekad.

Lebih menarik, gandingan mantapnya, Zainal Abidin Hassan, 65, sewaktu bersama skuad Harimau Malaya suatu ketika dahulu, turut berada dalam barisan FAM sebagai exco.

Ia bermakna mereka sekali lagi bersama, tetapi di gelanggang yang lebih besar serta ‘gerakan bola’ yang lebih laju.

Mereka mempunyai tanggungjawab yang cukup mencabar, walaupun tidak perlu lagi berlari, menggelecek untuk memburu jaringan… tetapi berada dalam pasukan yang merencana misi dan visi, memastikan bakatbakat hebat digilap dengan baik, demi kekuatan dan kesinambungan skuad negara di persada antrabangsa.

Pengalaman sebagai pemain, jurulatih dan pengurusan menjadikan Dollah dan Zainal sangat sesuai untuk berkongsi idea bersama-sama pemimpin yang lain dalam FAM.

“Saya akan lakukan yang terbaik berdasarkan pengalaman selama 40 tahun dalam bola sepak.

Perancangan memang ada dan saya sendiri pernah bercakap dengan Zainal,” ujar Dollah “Kami ada perancangan untuk membantu pasukan Harimau Malaya, termasuk dari peringkat akar umbi.

Saya dan Zainal akan berusaha untuk berkomunikasi dan beri idea yang boleh kami bantu meningkatkan mutu bola bola sepak Malaysia,” katanya.

Manakala Zainal pula menjelaskan; “Kami mempunyai perancangan sendiri untuk memperbaiki dan memajukan bola sepak negara.

Perancangan itu memang ada, kalau tidak kami tidak akan berada di sini.

“Kami pernah bayangkan untuk berkongsi pengalaman, tapi tidak sangka setahap ini, duduk di kerusi FAM.

Jadi, ini bukan kejutan tetapi satu penghargaan yang harus kami jalankan,” jelasnya.

Kombinasi Dollah-Zainal bersama Malaysia pada era pertengahan 80-an hingga pertengahan 90-an, cukup digeruni lawan di rantau Asia Tenggara, malah nama mereka juga dikenali di peringkat Asia.

Dalam saingan Liga Malaysia pula, kedua-duanya pernah menjadi teraju pasukan ‘bangsawan’ Pahang 1992, bergandingan dengan legenda Singapura, Fandi Ahmad. Pahang merupakan juara Piala Malaysia ketika itu.

Kini mereka mahu melakar satu lagi kejayaan, tetapi melalui ‘belakang tabir’, mahu mengangkat bola sepak Malaysia setinggi yang boleh.

Dengan pengalaman selama empat dekad, adalah wajar untuk mereka mencurah khidmat bakti.

Mengimbas transformasi FAM, ia bermula sejak peletakan jawatan jurulatih hebat, Kim Pan Gon pada 16 Julai 2024 selepas mengemudi Malaysia ke pentas Piala Asia 2023.

FAM tidak menoleh ke belakang lagi walaupun ‘berasa’ kehilangan pengendali dari Korea Selatan itu.

Dengan bantuan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), FAM mengambil langkah drastik dengan melantik bekas pemain kebangsaan Kanada dan kelab Eintracht Frankfurt, Robert Douglas Friend, 44, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan Malaysia.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Rob Friend menjadi peneraju utama dalam struktur organisasi baharu dalam revolusi skuad Harimau Malaya.

Rob Friend banyak mengemudi penubuhan dan pembangunan strategik kelab.

Ia termasuk pembangunan stadium dan pusat latihan, menyelia semua aspek operasi kelab, pembelian pemain, pelantikan kakitangan kejurulatihan, rundingan penajaan serta pengurusan kewangan yang membawa kepada peningkatan ketara terhadap nilai kelab terbabit.

Rob Friend bermula sebagai rakan kongsi pengurusan di DRG Investment Group, sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan hartanah pada 2014 hingga kini.

Kemudian dari 2017 hingga 2021, menjadi pengasas Toca Football Canada, teknologi latihan khusus bola sepak dan bermula 2019 hingga sekarang, beliau ialah rakan kongsi pengurusan di SixFive Sports Fund iaitu badan pelaburan dalam bola sepak profesional dan infrastruktur melalui pemilikan kelab, stadium dan pembangunan kemudahan latihan.

Antara pembabitan terbesarnya ialah menjadi salah seorang pengasas bersama liga bola sepak profesional Kanada, Canadian Premier League (CPL) dan berjaya meningkatkan nilai liga itu dari AS$0 sehingga AS$300 juta (sekitar RM1.3 bilion) dalam tempoh enam tahun.

Di samping itu, FAM turut melantik jurulatih baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski, 46, dari Australia, yang juga bekas pengendali kelab Tokyo FC dalam Liga Jepun.

Beliau pernah bekerja selama lebih 15 tahun di bawah pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou ketika mereka bersama-sama mengemudi skuad kebangsaan Australia menjuarai Piala Asia 2015 dan kemudian menjuarai Liga J1 2019 ketika mereka mengemudi kelab Jepun, Yokohama F Marinos.

Malah FAM juga akan membawa masuk sekitar tujuh pemain warisan dari Eropah untuk menguatkan lagi Harimau Malaya.

Oleh itu pengumuman Presiden FAM ketika itu, Datuk Hamidin Amin untuk tidak mempertahankan jawatan, tidak begitu terasa, kerana ramai yang teruja melihat perkembangan baharu bola sepak negara.

Hakikatnya, Hamidin yang mula menduduki kerusi panas, pada 2018 memberikan sumbangan yang cukup besar.

Beliau berjaya mengubah pencapaian skuad negara, layak ke Piala Asia secara merit dan melonjakkan ranking, daripada 154 kepada 132.

Ia merupakan sesuatu yang sangat sukar untuk dicapai sebelum era Hamidin.

Yang pasti, presiden baharu, Datuk Mohd Joahari Ayub yang juga bekas Naib Presiden FAM menggalas tugas berat, harus memastikan ranking Harimau Malaysia terus meningkat dan memastikan Liga Malaysia lebih kemas, terutama segi pengurusan pasukan agar kebajikan pemain terjaga.

Hakikatnya pasukan/kelab yang menyertai Liga Malaysia juga harus bertanggungjawab, memastikan bajet mencukupi.

Tanpa bantuan persatuan kelab negeri hanya akan menyukarkan lagi tugas FAM, kerana FAM itu sendiri terbentuk daripada FA Negeri/kelab.

Realitinya FAM 2025 merupakan persatuan sukan yang paling menjadi tumpuan tahun ini… lebih-lebih lagi bagi mereka yang mahukan perubahan dalam kepimpinan.

Malah ada yang inginkan kejayaan segera, yakni lebih baik daripada pencapaian di bawah rejim Hamidin Amin.

Jangkaan tinggi para peminat di luar sana adalah lumrah. Malah ada yang keterlaluan, mahu ‘mimpi luar biasa’ (layak ke Piala Dunia 2030) menjadi realiti.

Hakikatnya, Malaysia adalah antara empat wakil dari Asia Tenggara yang mengorak langkah untuk menuju ke arah itu.

Yang pasti, Malaysia (132) masih berada di belakang Vietnam (114) dan Thailand (97).

Malah mengikut ranking terkini, Malaysia kini di bawah Indonesia (127).

Oleh itu, adalah lebih wajar untuk Malaysia menguasai pentas Asia Tenggara terlebih dahulu, dengan mengatasi tiga negara terbabit dan kemudiannya berusaha untuk memberi impak dalam Piala Asia 2027.

Andainya dua misi awal itu tercapai, barulah memikirkan tentang Piala Dunia.

Mungkin dengan adanya ramai pemain warisan dan naturalisasi, Malaysia lebih berpotensi berbanding, tiga pesaing itu?

Realitinya, bola sepak Malaysia bukan sekadar tentang FAM, tetapi FA/kelab dari seluruh negeri, terutama dalam konteks pembangunan akar umbi melalui akademi.

Ia kerana segalanya bermula dari sini (akademi). Oleh itu, FAM harus mengambil berat tentang akademi, kerana di sinilah masa depan bola sepak negara.

BERITA LAIN

ART pelaburan jangka panjang

BAGI penduduk bandar raya Kuching dan kawasan sekitarnya, perjalanan ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, menghadiri urusan pejabat atau pulang ke rumah yang memakan masa

Chong, Violet digantung dalam sidang DUN Sarawak

DALAM politik, kata-kata adalah senjata. Tetapi dalam Dewan Undangan Negeri, kata-kata juga boleh menjadi perangkap kepada mereka yang mengucapkannya. Tuduhan tanpa bukti boleh menjadi ungkapan

BERITA TERBARU