ARTIKEL

Transformasi kafe untuk anak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SK KAMPUNG SENARI memperkenalkan satu inisiatif unik bagi memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak melalui pelancaran Kafe Prasekolah Kanak-Kanak baru-baru ini.

Diilhamkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kafe ini bukan sekadar ruang makan, malah turut berfungsi sebagai pusat pembelajaran holistik dan menyeronokkan untuk murid prasekolah.

Direka berkonsepkan terbuka dan klasik, kafe ini menampilkan elemen interaktif, hiburan dan pendidikan dalam suasana yang kondusif.

Menariknya, hampir semua struktur dan perabot dibina hasil kreativiti komuniti setempat dengan menggunakan bahan terpakai seperti kayu palet, nibong dan simen fero.

Pendekatan ini bukan sekadar menjimatkan kos, malah berperanan dalam memupuk kesedaran masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar.

“Kafe ini hasil kerjasama erat antara guru, ibu bapa dengan komuniti.

Ia memberi kesan positif terhadap perkembangan murid,” kata guru prasekolah, Cikgu Marry Corinna Ali.

Kafe ini dilengkapi dengan pelbagai sudut pembelajaran, antaranya ialah ruang jual beli, sudut manipulatif, pusat bahasa, dan sudut pengetahuan am.

Di ruang jual beli, murid didedahkan kepada asas matematik melalui aktiviti simulasi jual beli.

Manakala di pusat bahasa, pelbagai bahan bacaan disediakan bagi menggalakkan perkembangan literasi awal.

Sudut pengetahuan am mempamerkan barangan antik bagi memperkenalkan sejarah dan warisan kepada kanak-kanak. Konsep pemakanan sihat juga diterapkan melalui paparan piramid makanan dan replika makanan sebenar.

Menurut Cikgu Marry, pendekatan pembelajaran berasaskan permainan dapat meningkatkan semangat dan kehadiran murid ke sekolah.

Pendekatan ini juga menjadikan murid lebih yakin, aktif dan berani mencuba perkara baharu.

Bekas Guru Besar yang juga ahli jawatankuasa program, Cikgu Awang Majri Awang Rosli, menganggap inisiatif ini sebagai contoh kejayaan pelaksanaan pendekatan kreatif dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Sementara itu, YDP PIBG SK Kampung Senari, Sulfee Alias, menyatakan kejayaan projek ini adalah hasil sumbangan dan sokongan menyeluruh komuniti, termasuk ibu bapa dan tukang kampung.

Kafe Kanak-Kanak ini bukan sekadar ruang makan, tetapi simbol transformasi pendidikan prasekolah.

Ia membuktikan dengan kreativiti dan semangat gotong-royong, pembelajaran boleh dijadikan pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna.

Semoga pendekatan ini menjadi inspirasi kepada sekolah lain dalam membentuk generasi masa depan yang berdaya saing dan berfi kiran kritis.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU