ARTIKEL

Gambar hiasan Pixabay

Trend tidur di dalam kereta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KESESAKAN lalu lintas di bandar-bandar besar pastinya memberikan tekanan kepada pemandu sepanjang perjalanan menuju destinasi seperti tempat kerja, sekolah, rumah dan destinasi lain.

Oleh itu, ramai yang mencari pelbagai solusi untuk mengelak waktu puncak kesesakan lalu lintas.

Antaranya ialah turun awal ke tempat kerja seawal jam 5 pagi dan tidur di dalam kereta sementara menunggu waktu pejabat bermula.

Trend tidur dalam kereta ini semakin menjadi popular dalam kalangan pekerja kerana ia adalah solusi mudah daripada bersesak di jalan raya.

Walaupun normal baharu ini mungkin memberikan kelegaan sementara daripada kesesakan lalu lintas, ia menimbulkan kebimbangan besar tentang kesejahteraan fizikal dan mental individu.

Ini kerana ia diakui secara meluas sebagai amalan yang tidak sihat dan berpotensi berbahaya untuk individu terbabit.

Mengambil contoh kes yang viral tentang peristiwa kematian tiga sahabat dalam sebuah kereta ketika sedang berehat di sebuah stesen minyak Lebuh Raya Utara Selatan, Pulau Pinang tiga tahun lalu berpunca daripada terhidu gas karbon monoksida hingga menyebabkan organ gagal berfungsi.

Menurut hasil pemeriksaan juruteknik polis mendapati kenderaan yang dinaiki mereka mengalami kebocoran di bahagian ekzos.

Di Indonesia, satu kes tular di media sosial pada bulan Mac tahun lalu mengenai seorang lelaki berusia 40 tahun meninggal dunia mungkin kerana terhidup gas karbon monoksida di dalam keretanya.

Pada ketika itu, dia sedang tidur dalam keadaan pendingin hawa dipasang dan cermin ditutup rapat. Dua kes sebagai contoh ini menunjukkan trend tidur dalam kereta adalah berisiko menganggu kesihatan fizikal.

Dalam pada itu, beberapa orang awam telah menegaskan bahawa hari bekerja yang panjang dan kurang tidur yang lena boleh menjejaskan kesejahteraan individu.

Selain itu, mereka juga berdepan risiko jenayah seperti insiden kecurian dalam kereta apabila penjenayah mengambil kesempatan ketika mereka sedang tidur.

Selain trend tidur dalam kereta, ramai kalangan kita mengamalkan tabiat menunggu dalam kenderaan dengan enjin dan penyaman udara dihidupkan untuk jangka masa yang lama.

Apatah lagi, Malaysia yang beriklim panas dan lembap sepanjang tahun ramai yang memilih memasang penyaman udara termasuk ketika menunggu dalam kenderaan dalam masa singkat atau panjang.

Oleh hal demikian, penyelesaian yang lebih komprehensif perlu dilaksanakan bagi meringankan beban penumpang dan pemandu.

Pemandu perlu mengambil langkah-langkah keselamatan kendiri seperti elak menunggu dalam kenderaan lebih-lebih lagi bersama anak kecil yang bukan sahaja membahayakan nyawa kita malah orang yang tersayang.

Langkah terbaik, elakkan tidur dalam kereta. Namun jika dalam keadaan mendesak, pastikan enjin kenderaan dimatikan dan tingkap dibuka seluas-luasnya serta carilah tempat yang sesuai untuk berehat.

Di samping itu, mungkin dasar penggunaan waktu kerja yang fleksibel boleh diperkenalkan oleh majikan iaitu pekerja boleh memilih masa mula dan tamat waktu kerja.

Dengan cara ini, berkemungkinan salah satu cara dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas selain mengurangkan tekanan pada pekerja.

BERITA LAIN

Ancaman halus dunia hiburan

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme

BERITA TERBARU