WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa mengancam untuk “memutuskan semua perdagangan dengan Sepanyol” berikutan keengganan negara itu membenarkan tentera AS menggunakan pangkalannya bagi melancarkan serangan ke atas Iran, selain menyatakan ketidakpuasan hati terhadap Britain, lapor Xinhua.
“Kami akan memutuskan semua perdagangan dengan Sepanyol. Kami tidak mahu apa-apa kaitan dengan Sepanyol,” kata Trump kepada pemberita pada awal perbincangannya dengan Canselor Jerman, Friedrich Merz di Pejabat Oval.
“Saya juga tidak berpuas hati dengan UK (United Kingdom),” kata Trump.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer sebelum ini memberitahu Parlimen pada Isnin bahawa Britain tidak menyertai serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Merz merupakan pemimpin asing pertama yang bertemu Trump secara bersemuka sejak pentadbiran AS melancarkan serangan udara berskala besar terhadap Iran pada pagi Sabtu.
Kedua-dua pemimpin itu berkata isu operasi terhadap Iran akan menjadi antara topik utama dalam mesyuarat tertutup mereka.— BERNAMA






