TTEOKBOKKI merupakan salah satu makanan jalanan di Korea yang diperbuat daripada kek beras kenyal dan pes cili gochujang.
Snek ini dikatakan makanan yang membuat warga Korea mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak mereka.
Selain pes cili gochujang, tteokbokki boleh dimasak bersamasama hirisan ikan, kubis, bawang dan bawang putih.
Tteokbokki kini menjadi hidangan mewah yang disajikan dalam periuk besar penuh dengan bahan tambahan seperti, ladu, sayur-sayuran, kimchi, mi dan sosej.
Malah, “tteok” (kek beras) itu sendiri boleh disesuaikan mengikut cita rasa sendiri — ditambah dengan bahan berbeza seperti keju, keledek atau bahan tempatan.
Selain itu, tteokbokki juga boleh disajikan dengan sos selain gochujang, antaranya sos kacang hitam manis atau lebih dikenali sebagai jjajang atau rempah kari untuk rasa lebih pedas.



