ARTIKEL

TUAK TRADISI WAJAH BAHARU

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TUAK bukan sekadar minuman tradisional yang sinonim dengan masyarakat Dayak, khususnya kaum Iban dan Bidayuh, malah sudah sebati dalam kehidupan, adat dan budaya mereka sejak turun-temurun.

Bagi masyarakat Dayak, kehadiran tuak sering melengkapi pelbagai acara, daripada sambutan Hari Gawai dan majlis keramaian hinggalah upacara adat yang diwarisi daripada generasi terdahulu.

Namun, apabila zaman berubah dan cita rasa masyarakat turut berkembang, warisan yang sama mula menemukan wajah baharu.

Daripada beras pulut dan ragi sebagai asas penghasilan tradisional, tuak kini turut diteroka menggunakan pelbagai bahan lain sehingga menghasilkan rasa yang lebih pelbagai tanpa memutuskan hubungannya dengan akar budaya.

Perubahan itulah yang sedang diterokai oleh Reswanti Rani, 35, atau lebih dikenali sebagai Resz, melalui jenama Tuak Dayung Bijagoi.

Menariknya, perjalanan Resz menghasilkan tuak dengan pelbagai rasa bukan bermula daripada rancangan perniagaan yang besar, tetapi daripada keinginan untuk mencari rasa yang lebih mudah diterima oleh insan yang paling dekat dengannya, iaitu suaminya sendiri.

Suaminya berbangsa Cina ingin menikmati tuak, namun tidak begitu dapat menerima rasa tuak tradisional yang lebih kuat.

“Suami saya mahu minum tuak, tetapi dia tidak begitu dapat menerima rasa tuak asli yang lebih kuat.

“Jadi, kami ter kir, bolehkah tuak ini diolah menggunakan buah-buahan?” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Persoalan yang kelihatan sederhana itu akhirnya membuka ruang kepada satu perjalanan panjang yang dipenuhi pelbagai percubaan.

Menurutnya, anggur hitam menjadi bahan pertama yang dicuba.

“Selepas melalui proses penapaian dan pemeraman, tuak yang dihasilkan berjaya memberikan rasa yang lebih mudah diterima, malah membuatkan suami saya semakin berminat untuk menikmati tuak.

“Oleh itu, saya menjadi lebih berani untuk meneroka lebih banyak bahan seperti kismis hitam, kelapa dan kopi yang digunakan sebagai antara perisa dalam penghasilan tuak saya,” tambahnya.

Pun begitu, di sebalik keberaniannya bereksperimen dengan pelbagai bahan, satu perkara yang tidak pernah ditinggalkan oleh Resz ialah identiti asal minuman tersebut.

“Saya orang Bidayuh Bau Jagoi. Jadi, saya mahu pelanggan tahu bahawa tuak saya berasal daripada masyarakat Bidayuh,” jelasnya.

Baginya, inovasi bukan bermaksud mengetepikan tradisi, sebaliknya menjadi satu cara untuk memastikan warisan tersebut terus dikenali dan dihargai, khususnya oleh generasi muda.

“Saya mahu memperkenalkan tuak kepada generasi muda.

Saya juga mahu mereka tahu bahawa tuak boleh dimodenkan menggunakan bahan lain dan bukan hanya beras atau beras pulut,” kongsinya.

Dalam proses penghasilannya, terdapat perbezaan antara tuak tradisional dengan tuak yang dihasilkan oleh Resz.

Menurutnya, tuak tradisional menggunakan ragi atau ceping, manakala penghasilan tuak moden menggunakan yis wain.

Walaupun bahan yang digunakan berbeza, proses asasnya masih mempunyai persamaan.

“Prosesnya lebih kurang sama, cuma kami menggunakan yis wain dan bahan lain seperti kismis hitam, kelapa, kopi dan sebagainya,” jelasnya.

Daripada pelbagai rasa yang pernah dihasilkan, anggur hitam menjadi antara yang paling mendapat perhatian pelanggan.

Tidak hairanlah, ia menjadi antara produk paling laris kerana rasanya dikatakan mempunyai persamaan dengan wain merah yang dihasilkan daripada anggur.

“Yang pertama kami cuba ialah anggur hitam dan ia mendapat sambutan yang sangat baik.

“Rasanya seakan-akan wain merah daripada anggur, sebab itu ia menjadi antara yang paling laris,” ujarnya.

Namun, tidak semua percubaan itu dirancang untuk dijadikan produk kekal. Salah satunya ialah tuak kedondong yang pada awalnya dihasilkan dalam kuantiti kecil.

Di luar jangkaan, produk tersebut mendapat sambutan pelanggan sehingga stok yang disediakan habis.

“Kami pernah menghasilkan tuak kedondong.

Pada awalnya kami membuatnya dalam kuantiti yang sedikit sahaja dan sambutannya sangat baik.

“Oleh sebab kuantitinya terhad, selepas stok habis kami tidak meneruskannya lagi,” katanya.

Bagi Resz, proses menghasilkan sesuatu yang baharu tidak berhenti selepas produk berada di pasaran.

Sebaliknya, maklum balas pelanggan menjadi bahagian penting dalam usaha mereka memperbaiki rasa, pembungkusan dan harga.

Pelanggan juga sering mencadangkan bahan yang tidak pernah terlintas dalam  kirannya, termasuk kayu manis, lada hitam, tomato dan madu.

“Pelanggan banyak memberikan cadangan, bukan sahaja dari segi rasa, malah pembungkusan dan harga.

“Ada yang mencadangkan supaya kami mencuba kayu manis, lada hitam, tomato, madu dan pelbagai lagi,” katanya.

Bagi memastikan Tuak Dayung Bijagoi mempunyai identiti tersendiri, Resz menitikberatkan kualiti, cara penyediaan, pembungkusan serta keaslian produk.

Aspek keaslian itu penting kerana antara cabaran yang dihadapinya adalah apabila pelanggan membandingkan harga produknya dengan jenama tuak lain.

Pada masa sama, ada juga yang menyangka tuak tersebut diperoleh daripada pihak lain sebelum dijual semula.

Menurut Resz, tanggapan itu tidak benar kerana setiap produk dihasilkan dan diproses sendiri oleh mereka.

“Cabaran paling besar adalah dari segi harga kerana pelanggan akan membandingkannya dengan jenama lain.

“Ada juga yang menyangka kami mengambil tuak daripada orang lain, sedangkan semua tuak ini kami hasilkan dan proses sendiri,” tambahnya.

Dalam dunia perniagaan yang semakin bergantung pada pemasaran digital dan capaian pelanggan daripada pelbagai latar belakang, Resz turut melihat penggunaan bahasa sebagai salah satu kekuatan dalam memperkenalkan produknya.

Menurutnya, antara strategi yang paling berkesan ialah menyediakan penerangan dalam pelbagai bahasa, khususnya bahasa Mandarin.

“Pendekatan ini membolehkan saya mendekati pelanggan berbangsa Cina yang mungkin kurang selesa berkomunikasi dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

“Ini membantu saya berkomunikasi dengan pelanggan dalam bahasa yang mereka fahami, selain membantu membina hubungan yang lebih dekat dan memudahkan mereka mengenali produk yang ditawarkan,” tambahnya.

Perjalanan Tuak Dayung Bijagoi juga mula membuka peluang untuk jenama tersebut dikenali oleh pengunjung dari luar Sarawak dan Malaysia.

Ketika menyertai satu acara di Jalan Carpenter, Resz berpeluang bertemu dengan pengunjung antarabangsa dari pelbagai negara.

“Antara pengunjung yang datang ke gerai saya termasuk pelancong dari Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, Perancis, Switzerland, New Zealand, Poland, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Kanada serta Jamaica. “Oleh itu, saya berharap suatu hari nanti jenama ini boleh menembusi pasaran luar negara.

“Apabila kami menyertai acara di Jalan Carpenter, kami dapat bertemu dengan ramai pelancong dari pelbagai negara.

“Itu membuatkan saya lebih yakin bahawa tuak juga boleh diperkenalkan kepada pasaran luar,” katanya.

Namun, cita-cita Resz tidak terhenti pada penghasilan tuak di dalam botol.

“Saya sentiasa membayangkan bagaimana identiti Tuak Dayung Bijagoi boleh diterjemahkan ke dalam pelbagai produk lain yang lebih dekat dengan kehidupan seharian dan mudah diterima oleh masyarakat.

“Oleh itu, banyak idea yang ingin saya usahakan, termasuk gula-gula berasaskan tuak, puding tuak, magnet peti sejuk, aiskrim tuak dan minuman kisar berasaskan tuak,” tambahnya.

Baginya, semua idea itu membuka kemungkinan baharu untuk membawa identiti tuak kepada khalayak yang lebih luas dalam bentuk yang kreatif.

“Setiap inovasi yang dibuat ini tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada tradisi, sama ada dari segi perubahan rasa mahupun cara penyampaian.

“Bagi saya, ia boleh menjadi jambatan yang menghubungkan warisan terdahulu dengan generasi masa kini dan mungkin suatu hari nanti membawa nama Tuak Dayung Bijagoi jauh melangkaui bumi Sarawak,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Tuak Dayung Bijagoi, maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman Facebook Tuak Dayung Bijagoi. melangkaui bumi Sarawak,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Tuak Dayung Bijagoi, maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman Facebook Tuak Dayung Bijagoi.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU