Sambutan ulang tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun ini menjadi medan penting untuk menilai pencapaian institusi tersebut memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, dan bahasa perpa-duan negara.
Di Sarawak, usaha itu terus diperkukuh melalui pelbagai program pembinaan bahasa, pengembangan sastera, pemeliharaan warisan budaya serta pendekatan digital yang lebih dekat dengan masyarakat.
Menurut Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Dr. Azizul Ismail, perjalanan tujuh dekad DBP bukan sekadar mencatat sejarah perkembangan bahasa Melayu, malah membuktikan komitmen berterusan DBP memastikan bahasa kebangsaan kekal relevan dalam era moden yang semakin dipengaruhi teknologi dan globalisasi.
Beliau berkata, peranan DBP hari ini bukan sahaja tertumpu kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu, malah turut melibatkan pemeliharaan bahasa etnik yang menjadi identiti masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
“Bahasa Melayu perlu terus diperkasakan sebagai bahasa perpaduan dan bahasa pembangunan negara.
“Pada masa sama, bahasa etnik juga perlu dipelihara kerana bahasa merupakan sebahagian daripada jati diri dan warisan sesuatu masyarakat,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Suara Sarawak di pejabatnya di DBP Cawangan Sarawak baru-baru ini.
Dr. Azizul berasal dari Klang, Selangor dan dibesarkan di Kuala Lumpur mempunyai pengalaman luas dalam bidang bahasa dan linguistik sebelum diberikan amanah untuk menerajui DBP Cawangan Sarawak.
Beliau memulakan kerjayanya di DBP dalam bidang pengembangan bahasa kebangsaan sebelum bertugas di Bahagian Peristilahan serta beberapa bahagian lain, termasuk penyelidikan bahasa dan penerbitan.
Selain memiliki ijazah dalam bidang pembangunan sosial, beliau turut melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang Psikolinguistik serta doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sosiolinguistik.
Pengalaman luas dalam aspek pembinaan bahasa, penyelidikan serta pengembangan bahasa pelbagai kaum menjadikan beliau antara individu yang layak menerajui usaha memperkasakan bahasa kebangsaan di Bumi Kenyalang yang terkenal dengan kepelbagaian etnik dan budaya.
Tiga fokus utama DBP Sarawak
Mengulas pencapaian paling membanggakan sepanjang menerajui DBP Cawangan Sarawak, Dr. Azizul menjelaskan, ada tiga aspek utama yang menjadi fokus organisasi itu, iaitu pembinaan bahasa, pengembangan bahasa dan penerbitan.
Dalam aspek pembinaan bahasa, DBP Sarawak memberi penekanan kepada pembangunan kamus bahasa etnik dan penyelidikan linguistik bagi memastikan warisan bahasa tempatan terus terpelihara.
Menurut beliau, usaha itu bukan sahaja bertujuan mendokumentasikan bahasa etnik, malah menjadi medium untuk memperkenalkan bahasa tersebut kepada masyarakat yang lebih luas.
“Kami sedang melaksanakan pelbagai usaha berkaitan pembangunan bahasa etnik, termasuk penyediaan kamus dan dokumentasi bahasa sukuan. Ini penting untuk memastikan bahasa tersebut tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Jelasnya, dalam aspek pengembangan bahasa pula, DBP Sarawak terus aktif menganjurkan program melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar, guru, institusi pendidikan dan komuniti setempat.
Antara program yang mendapat sambutan, ujarnya, adalah forum pendidikan, pertandingan bahasa, aktiviti kesusasteraan serta festival melibatkan pelbagai kaum dan etnik di negeri ini.
Sementara itu, beliau berkata, dalam bidang penerbitan, DBP Sarawak memberi tumpuan kepada usaha mencungkil bakat penulis tempatan melalui pelbagai program, termasuk penganjuran Anugerah Buku Premier yang mendapat kerjasama kerajaan negeri.
Bahasa perpaduan
Dalam masyarakat majmuk seperti Sarawak, Dr. Azizul percaya bahasa Melayu memainkan peranan besar sebagai medium penyatuan rakyat.
Beliau berkata, pembangunan pesat yang sedang dinikmati negeri ini memerlukan rakyat yang bersatu padu dan mampu berkomunikasi menggunakan satu bahasa bersama.
“Bahasa Melayu menjadi bahasa yang menghubungkan masyarakat pelbagai etnik dan kaum. Walaupun masyarakat masih menggunakan bahasa ibunda masing-masing, mereka boleh berkomunikasi dengan baik menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya.
Beliau memberikan contoh masyarakat di kawasan pedalaman seperti Belaga yang masih mengekalkan bahasa etnik masing-masing, namun pada masa sama mampu menggunakan bahasa Melayu dengan baik dalam kehidupan harian.
Menurutnya, keadaan itu membuktikan bahasa Melayu berjaya memainkan fungsi sebagai bahasa perpaduan tanpa menjejaskan identiti bahasa etnik.
cabaran era digital
Dr. Azizul mengakui perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) merupakan antara cabaran utama yang perlu dihadapi oleh institusi bahasa pada masa ini.
Namun tegasnya, teknologi tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman, sebaliknya sebagai peluang untuk memperluas penggunaan bahasa Melayu.
“Perkembangan teknologi tidak boleh disekat. Kita perlu bergerak seiring dengannya dan menggunakan teknologi sebagai alat untuk memperkasakan bahasa,” katanya.
Jelasnya, DBP kini memanfaatkan pelbagai platform digital termasuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang menyediakan akses kepada maklumat berkaitan bahasa, istilah dan peribahasa secara dalam talian.
Selain itu, media sosial turut digunakan secara aktif untuk menyebarkan kandungan berkaitan bahasa dan sastera kepada masyarakat.
Menurut beliau, penggunaan platform digital membolehkan program DBP menjangkau masyarakat yang lebih luas, termasuk mereka yang tinggal jauh dari pusat bandar.
“Jika dahulu program hanya dapat dinikmati oleh mereka yang hadir secara fizikal, kini rakaman dan siaran langsung membolehkan lebih ramai masyarakat mengikuti aktiviti yang dianjurkan,” katanya.
dekati golongan muda
Dalam usaha memastikan generasi muda terus mencintai bahasa Melayu, DBP Sarawak mengambil pendekatan yang lebih kreatif dan mesra golongan muda.
Dr. Azizul berkata, pelbagai pertandingan dan program dianjurkan dengan mengambil kira minat generasi muda yang cenderung kepada teknologi, muzik dan media sosial.
Antara program yang mendapat sambutan adalah pertandingan bercerita, eksplorasi digital, forum pelajar, teater dan persembahan muzik.
Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan bahasa Melayu dipersembahkan dalam bentuk lebih menarik dan dekat dengan kehidupan golongan muda.
“Golongan muda hari ini sangat rapat dengan dunia digital. Oleh itu, kita perlu menggunakan platform yang mereka gemari untuk mendekatkan mereka dengan bahasa Melayu,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan penggunaan media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram sebagai medium penyebaran kandungan bahasa dan sastera yang lebih berkesan.
lahir lebih ramai penulis, sasterawan
Selain memperkasakan bahasa, DBP Sarawak juga komited untuk melahirkan generasi baharu penulis dan sasterawan.
Menurut Dr. Azizul, pelbagai bengkel penulisan dianjurkan secara berkala dengan menyasarkan pelajar sekolah, mahasiswa institusi pengajian tinggi serta golongan muda yang berminat dalam bidang penulisan.
Melalui program itu, peserta diberi peluang mempelajari teknik penulisan kreatif dan menghasilkan karya yang berkualiti.
Beliau berkata, bakat yang dikenal pasti akan terus dibimbing melalui platform penerbitan dan pertandingan yang dianjurkan oleh DBP.
“Kita mahu menyediakan ruang dan peluang kepada penulis muda untuk menonjolkan bakat mereka.
“Jika bakat itu terus diasah, mereka berpotensi menjadi penulis dan sasterawan yang mampu menyumbang kepada perkembangan kesusasteraan negara,” katanya.
Di samping itu, katanya, DBP Sarawak turut memainkan peranan penting dalam mendokumentasikan dan memelihara khazanah budaya serta kesusasteraan masyarakat tempatan.
Menurut Dr. Azizul, institusi itu memiliki pusat dokumentasi yang menyimpan pelbagai bahan berkaitan bahasa, budaya dan kesusasteraan, termasuk koleksi bersejarah yang diwarisi daripada Biro Kesusasteraan Bornero (BLB).
Beliau berkata, bahan tersebut bukan sahaja disimpan dan dipelihara, malah turut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu supaya dapat dinikmati oleh masyarakat yang lebih luas.
“Usaha penterjemahan membolehkan karya etnik dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di seluruh negara,” katanya.
Kerjasama pelbagai pihak penting
Justeru, Dr. Azizul mengakui kejayaan memperkasakan bahasa Melayu tidak boleh digalas oleh DBP sahaja.
Sebaliknya, usaha tersebut memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Institut Pendidikan Guru (IPG), media massa, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat.
Menurut beliau, sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak selama ini banyak membantu menjayakan pelbagai program bahasa dan sastera di Sarawak.
“Guru, pensyarah, penjawat awam, media dan masyarakat umum merupakan rakan strategik penting dalam perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.
Visi ke hadapan
Menjelang dekad akan datang, DBP Sarawak berhasrat menjadi institusi yang terus segar, progresif dan dekat dengan masyarakat.
Dr. Azizul berkata, walaupun DBP kini berusia 70 tahun, institusi itu perlu sentiasa berfikiran muda dan terbuka terhadap perubahan.
Beliau mahu melihat lebih banyak program melibatkan keluarga, masyarakat pelbagai kaum serta golongan muda menggunakan pendekatan kreatif dan inovatif.
“Bahasa bukan sahaja dipelajari di bilik darjah. Bahasa hidup dalam seni, muzik, teater, filem dan kehidupan seharian masyarakat. Sebab itu, kita perlu sentiasa mencari pendekatan baharu untuk memperkasakannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh rakyat Sarawak terus menerima dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan yang mampu menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan etnik.
“Bahasa kebangsaan ialah alat penting untuk mencapai perpaduan dan pembangunan. Apabila rakyat bersatu melalui bahasa yang sama, kita akan lebih mudah mencapai aspirasi pembangunan yang diimpikan bersama,” katanya.
Sempena ulang tahun ke-70 DBP, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu jelas masih relevan dan penting.
Dalam dunia yang semakin pantas berubah, bahasa kebangsaan terus menjadi asas perpaduan, identiti dan kemajuan negara, manakala DBP kekal sebagai institusi utama yang menerajui usaha tersebut demi generasi hari ini dan generasi akan datang.



