DALAM masyarakat Melayu Sarawak, tukang napor merujuk kepada individu yang menghasilkan kepuk dan batu nisan bagi kegunaan tanah perkuburan.
Walaupun kerjaya ini jarang mendapat perhatian umum, peranannya amat penting membantu masyarakat menguruskan urusan terakhir insan tersayang.
Johan Ahmad, 54, antara individu yang setia dalam bidang ini sejak 2001 dan terus melakukannya sehingga kini.
Anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik ini mempunyai latar belakang pendidikan yang berbeza daripada bidang yang diceburinya.
“Saya pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang STEM di Busan, Korea Selatan, iaitu dalam pembuatan papan lapis,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak di kediamannya, baru-baru ini.
Menurut Johan, pelibatannya dalam bidang ini bermula tanpa minat yang mendalam.
Namun, faktor tanggungjawab terhadap keluarga menjadi titik perubahan dalam hidupnya.
“Pada mulanya saya tidak berminat, tetapi kemudian saya melihat pekerjaan ini boleh menjana pendapatan dan membantu saya menyara keluarga,” katanya lagi. Bapa kepada tiga anak ini menjadikan keluarga sebagai sumber kekuatan untuk terus bertahan.
Pekerjaan menghasilkan kepuk dan batu nisan ini dilakukannya sendiri dengan bantuan salah seorang anaknya.
Usaha ini mencerminkan bagaimana peranan keluarga turut menjadi tulang belakang kepada kelangsungan kerjayanya.
Selain itu, Johan juga tidak lokek berkongsi ilmu dengan golongan muda yang berminat dalam bidang ini dengan membuka peluang kepada mereka untuk mempelajari kemahiran tersebut secara langsung, malah menyediakan insentif sebagai dorongan.
“Saya memberi peluang kepada golongan muda untuk belajar. Saya mengajar sendiri dan memberikan sedikit insentif supaya mereka lebih bersemangat,” ujarnya.
Walaupun bidang ini sering dianggap tidak mempunyai masa depan, tukang napor ini tetap memilih untuk meneruskannya tanpa menghiraukan pandangan negatif masyarakat kerana baginya setiap pekerjaan mempunyai nilai tersendiri selagi dilakukan dengan niat yang baik.
“Memang ada orang mengatakan pekerjaan ini tiada masa depan, tetapi saya hanya menutup telinga kerana kerja ini halal dan boleh membantu orang,” katanya lagi.
Dari segi kemahiran, Johan mempelajari teknik menghasilkan kepuk dan batu nisan secara berdikari dengan merujuk kepada individu berpengalaman serta melalui platform YouTube.
Namun, cabaran dalam pekerjaan ini bukan sahaja dari sudut teknikal, tetapi juga melibatkan kekuatan mental dan emosi, terutama ketika bekerja di kawasan perkuburan.
“Cabaran memang ada.
Oleh itu, hati mesti kuat dan sentiasa berserah kepada Tuhan.
“Saya sering mengalami gangguan makhluk halus ketika melakukan pekerjaan ini, tetapi bagi saya hal itu sudah menjadi kebiasaan,” jelasnya lagi.
Yang membezakan Johan dengan kebanyakan pengusaha lain ialah pendekatannya terhadap keuntungan.
Beliau menegaskan, pekerjaan ini bukan semata-mata untuk mengaut keuntungan, sebaliknya lebih kepada membantu masyarakat.
“Saya tidak melakukan pekerjaan ini semata-mata untuk mengaut keuntungan.
Saya lebih cenderung untuk menolong orang,” katanya lagi.
Keikhlasan tersebut dapat dilihat apabila dia sanggup menerima tempahan sehingga ke Lawas.
Menariknya, kos yang dikenakan hanyalah untuk pengangkutan, manakala pemasangan dilakukan tanpa bayaran.
Situasi ini sering menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai tentang keuntungan yang diperoleh.
Namun, bagi Johan, kepuasan sebenar bukan terletak pada wang semata-mata.
“Orang sering bertanya sama ada saya memperoleh keuntungan atau tidak.
Saya hanya tersenyum kerana apabila dapat menolong orang, itu sudah cukup memuaskan hati saya,” ujarnya.
Dari segi pengurusan masa, Johan bijak membahagikan jadual antara pekerjaan tetap dengan kerjanya sebagai tukang napor.
“Jika saya bekerja syif pagi, saya akan menghasilkan kepuk dan batu nisan pada sebelah petang, manakala jika syif petang, saya melakukannya pada waktu pagi.
Pemasangan pula mengikut permintaan pelanggan, tetapi selalunya pada waktu tengah hari.
“Proses menghasilkan batu nisan biasanya dilakukan di rumah sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dipasang.
“Tempoh menyiapkan satu tapak kubur adalah sekitar dua jam atau lebih, bergantung pada keadaan dan keperluan pelanggan,” katanya.
Di sebalik ketabahan tukang napor ini, isterinya juga pernah melalui perjalanan sebagai usahawan kecil.
“Saya pernah mengusahakan perniagaan kek lapis di Siburan pada suatu ketika dahulu dan menjadi perhatian ramai kerana menjualnya pada harga serendah RM8, jauh lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya sambil tertawa kecil.
Ibu kepada tiga anak ini turut menjalankan perniagaan menjahit pakaian dan menghasilkan baju secara kecilkecilan.
Dalam usaha mengembangkan perniagaan, isteri kepada tukang napor ini pernah mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan, namun tidak berjaya.
Namun, kini semua aktiviti tersebut tidak lagi diteruskan disebabkan kekangan masa dan faktor kesihatan.
Kesimpulannya, kisah Johan memperlihatkan sesuatu pekerjaan bukan sekadar sumber rezeki, tetapi juga satu bentuk sumbangan kepada masyarakat.
Dalam dunia yang sering menilai kejayaan melalui keuntungan, tukang napor ini memilih jalan berbeza dengan mengutamakan keikhlasan dan kepuasan membantu orang lain. — MARYLIND EDWARD



