Di sebalik gemerlap pentas dan sorakan peminat, Tulus kembali mencuri perhatian selepas empat tahun tidak tampil dengan karya baharu.
Penyanyi dan komposer Indonesia itu kembali menyapa pendengar menerusi lagu terbaharu, Teh Hijau, yang bukan sekadar menandakan kemunculan semulanya dalam arena muzik, malah membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya.
Tulus, yang nama sebenarnya Muhammad Tulus Rusydi, memulakan kerjaya muzik secara profesional pada 2011 menerusi album studio sulungnya, Tulus, yang diterbitkan secara mandiri di bawah label miliknya, TulusCompany.
Namun, perjalanan muziknya sebenarnya bermula lebih awal ketika menuntut di Bandung, apabila beliau aktif menyanyi dan membuat persembahan di kafe serta bersama komuniti jaz tempatan.
Daripada pentas kecil itulah, Tulus perlahan-lahan membina identiti muziknya sendiri sebelum tampil dengan karya yang berjaya menarik perhatian pendengar Indonesia.
Album sulung Tulus yang diterbitkan pada 2011 turut memperkenalkan beberapa karya yang kemudiannya menjadi antara lagu yang popular dalam kalangan peminatnya.
Usaha tersebut membuahkan hasil apabila Tulus menerima pengiktirafan sebagai Rookie of the Year oleh majalah Rolling Stone Indonesia pada 2013, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara bakat baharu yang mendapat perhatian dalam industri muzik Indonesia ketika itu.
Sejak itu, nama Tulus terus berkembang menerusi karya yang mengetengahkan lirik yang dekat dengan kehidupan, hubungan manusia dan pelbagai sisi emosi.
Selepas lebih sedekad membina kerjaya, Tulus kembali mencuri perhatian menerusi Teh Hijau, karya baharunya selepas album Manusia yang diterbitkan pada 2022.
Karya yang dilancarkan pada 30 Jun lalu itu mengetengahkan tema kehampaan dan penerimaan diri, namun disampaikan menerusi susunan muzik yang hangat, ceria serta mudah dinikmati.
Menariknya, lagu dan melodi Teh Hijau ditulis sendiri oleh Tulus, manakala proses penerbitannya menyaksikan kerjasama dengan Riri Muktamar sebagai penerbit dan Yoseph Sitompul sebagai penerbit serta penyusun muzik.
Rakaman vokal utama dan vokal latar pula dikendalikan oleh Yoseph Sitompul di YosephSitompul Music Mobile Studio yang terletak di Studio Tiga Dua 1, Tangerang Selatan.
Di sebalik melodi yang kedengaran ringan, Teh Hijau membawa cerita yang lebih mendalam mengenai perasaan kosong yang hadir dalam kehidupan.
Bagi Tulus, kehampaan tidak semestinya perlu dilawan atau dipaksa untuk segera hilang. Sebaliknya, ada waktunya perasaan itu perlu diterima sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup.
“Lagu ini tentang rasa hampa yang tidak didesak hilang, melainkan diterima sebagai bagian dari perjalanan hidup,” katanya.
Pendekatan itu menjadikan Teh Hijau bukan sekadar kisah tentang hilangnya rasa cinta, malah turut menyentuh proses seseorang berdamai dengan kekosongan serta memberikan ruang kepada diri untuk pulih secara semula jadi.
Kontras antara tema yang sarat dengan emosi dengan susunan muzik yang riang dan sederhana pula menjadi antara kekuatan utama karya berkenaan.
Tulus masih mengekalkan identiti muziknya yang tersendiri, namun kali ini membawakan karya yang kedengaran lebih ringan, walaupun menyimpan makna yang cukup dekat dengan pengalaman hidup.
Tidak menghairankan apabila lagu berkenaan mula mendapat perhatian selepas dilancarkan, malah tular di media sosial, termasuk Threads, apabila ramai pendengar mengakui mereka dapat mengaitkan mesej lagu tersebut dengan pengalaman peribadi masing-masing.
Kemunculan semula itu turut dilihat sebagai satu perkembangan menarik bagi penyanyi yang sinonim dengan karya seperti Hati-Hati di Jalan, Monokrom, Interaksi, Tujuh Belas dan Sepatu.
Lagu-lagu tersebut sebelum ini berjaya mencuri hati pendengar menerusi gabungan lirik yang bermakna, melodi yang indah serta penyampaian vokal Tulus yang bersahaja tetapi berkesan.
Tulus bukan sekadar kembali dengan karya baharu, malah turut membawa Teh Hijau ke pentas ketika membuat persembahan secara langsung di Festival Latihan Pesta Pora Malaysia 2026 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, pada 15 Ogos lalu.
Kehadiran penyanyi kelahiran Bukittinggi, Indonesia, itu sekali lagi membuktikan karya Tulus mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan peminat muzik, bukan sahaja di Indonesia, malah di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Menerusi Teh Hijau, Tulus seolah-olah mengajak pendengar memperlahankan langkah seketika, menerima emosi yang hadir dan memberikan ruang kepada diri untuk pulih tanpa perlu terburu-buru.
Selepas empat tahun tanpa karya baharu, kemunculan Tulus kali ini bukan sekadar tentang sebuah lagu baharu, tetapi juga tentang bagaimana sesebuah karya mampu menjadi teman kepada mereka yang sedang belajar menerima sesuatu yang tidak lagi sama.
Tulus, yang turut mempunyai latar belakang sebagai arkitek, dilahirkan pada 20 Ogos 1987 di Bukittinggi dan terus membina namanya sebagai antara penyanyi dan penulis lagu Indonesia yang mempunyai identiti muzik tersendiri.



