ARTIKEL

Tun Jugah, Aum Kapit dan Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

UMUM mengetahui sebelum penubuhan Malaysia, satu suruhanjaya telah ditubuhkan untuk mendengar pendirian rakyat Sarawak dan Borneo Utara.

Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan di London pada 17 Januari 1962, dengan pengerusinya merupakan bekas Gabenor Bank England, Lord Cameron Fromanteel “Kim” Cobbold.

Ahli-ahli lainnya termasuklah bekas Gabenor British di Sarawak, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston — kedua-duanya mewakili Kerajaan British.

Manakala Datuk Wong Pow Nee dan Muhammad Ghazali Shafie mewakili Persekutuan Tanah Melayu.

Suruhanjaya ini antara lain bertanggungjawab mendapatkan pandangan rakyat kedua-dua negeri ini berhubung penubuhan Malaysia, dan penggabungan mereka dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Suruhanjaya ini telah berkunjung ke seluruh lima Bahagian di Sarawak ketika itu, kecuali satu daerah.

Mereka menemui lebih 4,000 responden daripada 690 kumpulan, yang terdiri daripada seorang individu hingga 50 orang pada satusatu masa.

Dan untuk menyambut ketibaan kumpulan suruhanjaya inilah maka satu persidangan atau “Aum” dalam bahasa Iban telah diadakan di Kapit.

Aum Kapit ini telah diusahakan oleh Temenggung Jugah ak Barieng, pemimpin masyarakat Iban di kawasan tersebut, yang juga dikenali sebagai Bahagian Ketiga, Sarawak.

Aum ini melibatkan 51 ketua masyarakat atau Penghulu Iban yang dilantik.

Ia diadakan pada 15 Februari 1962 dan dikendalikan oleh Tun Jugah.

Fokusnya adalah kepada penubuhan Persekutuan Malaysia.

Kelompok ini dikatakan mewakili 112,000 Iban, daripada keseluruhan populasi 238,000 orang ketika itu.

Daripada Aum yang berlangsung sehari ini, maka satu keputusan yang dinamakan “Resolusi Kapit” telah tercapai.

Persidangan ini mencapai kesepakatan bahawa cadangan penubuhan Malaysia ini perlu disokong, namun tertakluk kepada beberapa syarat.

Dan resolusi ini kemudian diserahkan kepada Suruhanjaya Cobbold ketika mereka tiba di Kapit pada 19 Mac 1962.

Antara lain, Resolusi Kapit ini menuntut bahawa

1. Ketua Negeri Sarawak hendaklah Bumiputera Sarawak;

2. Ketua setiap negeri di Persekutuan layak untuk dilantik sebagai Ketua Persekutuan Malaysia;

3. Adat lama kekal di bawah kekuasaan Kerajaan Sarawak, seperti yang diamalkan pada hari ini;

4. Tanah terletak di bawah kawalan dan bidang kuasa Negeri;

5. Bahasa Inggeris kekal menjadi bahasa rasmi negeri Sarawak dan akan menjadi salah satu bahasa rasmi Malaysia;

6. Kebebasan dalam beragama dan beribadah;

7.Perlu ada perwakilan yang cukup untuk Sarawak dalam Kerajaan Persekutuan;

8. Pegawai British sedia ada kekal sehingga ada rakyat tempatan yang layak dapat menggantikannya;

9. Bumiputera Sarawak menikmati status dan kelebihan yang sama dinikmati oleh masyarakat Melayu di Tanah Melayu;

10. Pendidikan terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan dan hendaklah diagih sama rata di seluruh negara secepat mungkin. Bumiputera Sarawak juga harus diberikan pembahagian yang adil untuk biasiswa luar negara;

11. Kuasa imigresen kekal di bawah kuasa Negeri Sarawak;

12. Kuasa yang diperakukan Perlembagaan untuk Negeri, tidak boleh diubah tanpa persetujuan daripada Negeri; dan, 

13. Pembangunan di Sarawak perlu dipercepatkan.

Difahamkan, suruhanjaya tersebut memandang serius akan resolusi ini, kerana ia mempunyai beberapa pandangan yang bernas.

Ternyata Tun Jugah telah menjalankan tugasan yang cukup berkesan, kerana ada beberapa resolusi ini kemudiannya telah dijadikan 18 perkara yang dituntut Sarawak menerusi Jawatankuasa Antara Kerajaan atau IGC.

Yang menariknya, beberapa pemimpin Iban lain yang diwawancara sebelum persidangan itu turut memberi pandangan betapa perlunya hak untuk keluar dari Persekutuan diwujudkan, dan ia seharusnya dinyatakan secara jelas dan bertulis.

Pun begitu, tidak semua masyarakat Iban pada waktu itu menyokong penubuhan Malaysia, terutamanya golongan cerdik pandai dan berpendidikan di Bahagian Kedua.

Mereka antara lain memiliki pandangan dan cadangan sendiri.

Antaranya, mahu ketua negara Malaysia yang baharu itu dikenali sebagai Presiden dan Malaysia dijadikan sebagai sebuah republik.

Mereka juga menuntut agar Bahasa Inggeris kekal sebagai medium pengajaran di sekolah dan Bahasa Iban menjadi salah satu subjek yang diajar.

Sarawak juga kata mereka, perlu menjadi negeri sekular dan bantuan dana daripada Persekutuan hendaklah diagihkan sama rata kepada semua kumpulan agama.

Perkara berkaitan Resolusi Kapit ini sebenarnya cukup penting untuk disemak kembali, jika kita bercakap mengenai Perjanjian Malaysia 1963.

Kerana di sinilah sebenarnya, suara rakyat dirakam, dan menjadi intipati utama Perjanjian Malaysia itu sendiri.

Malangnya, tidak ramai yang tahu akan fakta yang wujud ini, termasuk ramai yang tidak tahu akan kepentingan Perkara 18 yang melatari penubuhan Malaysia itu sendiri.

Malah pakar perlembagaan Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu A Aziz yang ditemui penulis pada minggu lalu, mengingatkan penulis akan pentingnya untuk revisit Resolusi Kapit ini sebelum bercakap tentang Perjanjian Malaysia.

Ini kerana ramai yang tidak tahu akan kewujudan resolusi ini, sedangkan ia memberi makna yang besar kepada pembentukan perjanjian itu kemudiannya.

Terima kasih, tentunya kepada pemimpin seperti Tun Jugah Barieng, di sebalik buta huruf kerana tiada sekolah di kawasan itu pada zamannya, tetapi memiliki wawasan dan pandangan jauh, sehingga mampu memimpin pandangan yang bernas untuk pemimpin Iban kawasan tersebut pada waktu itu.

Beliau malah mendahului zaman, apabila menegaskan betapa pembangunan fizikal di Sarawak perlu disegerakan, selain menekankan betapa pendidikan perlu menjadi agenda penting yang dibahagikan sama rata, terutama dalam aspek biasiswa dan sekolah.

Tun Jugah dan kumpulannya juga menekankan tentang pentingnya perwakilan yang cukup untuk Sarawak di peringkat Persekutuan, dan perlunya keizinan negeri diberikan jika sesuatu peruntukan dalam perlembagaan yang menyentuh negeri hendak diubah.

Kebanyakan yang disebut di atas, telah pun menjadi isu dan kenyataan pada hari ini.

Dan berdasarkan pandangan tersebut, tidak mustahil suatu hari nanti, jawatan Perdana Menteri datangnya dari Sarawak, memandangkan kini ahli Parlimen negeri ini telah pun diangkat ke jawatan Timbalan Perdana Menteri — sesuatu yang tidak terfikirkan.

Yang pasti, Resolusi Kapit tidak lagi tinggal kenangan.

Dan ia harus ditaakul oleh seluruh rakyat Sarawak, terutamanya pencinta sejarah dan ahli politik setiap kalinya kita meraikan 22 Julai sebagai Hari Sarawak.

Kerana di sinilah sebenarnya, asas kepada pembentukan Malaysia itu dicanai, oleh anak negerinya sendiri.

BERITA LAIN

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

Dapur rumah di awan biru

PETANG Ahad, saya terbang ke Kuala Lumpur dari Kuching menggunakan pesawat milik kita rakyat Sarawak — AirBorneo. Selama ini, saya banyak menyunting pengalaman rakyat Sarawak

BERITA TERBARU