PENGALAMAN mengendalikan program komuniti bukan sahaja memberikan pendedahan kepada mahasiswa tentang dunia pengurusan projek, malah menjadi ruang untuk mereka mengasah kemahiran kepimpinan, kreativiti dan komunikasi.
Bagi Nurul Syafiera Azlan Abdullah, 22, pelajar bidang Linguistik di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), pengalaman memimpin rakan sekelas dalam program komuniti menerusi subjek kokurikulum Smart Money Management menjadi antara pengalaman paling bermakna sepanjang pengajiannya.
Pada semester kedua tahun pertama pengajian, beliau diberikan kepercayaan untuk memegang tanggungjawab sebagai pengarah projek bagi subjek berkenaan yang mewajibkan mahasiswa melaksanakan program komuniti di luar kampus.
Menurut Nurul Syafiera, persiapan program bermula dengan penyediaan kertas kerja, termasuk perancangan aktiviti dan belanjawan, sebelum mendapat kelulusan daripada pensyarah.
“Proses kami bermula dengan penyediaan kertas kerja dan belanjawan sebelum kedua-duanya diluluskan oleh pensyarah.
“Kemudian, kami melakukan lawatan tapak ke SK Panggalan Ampat, Padawan, untuk menetapkan lokasi dan merancang aktiviti yang sesuai bagi murid-murid di sekolah tersebut,” katanya.
Program yang dinamakan Projek Khas UNIMAS Turun Padang ke SK Panggalan Ampat, Padawan itu turut menghimpunkan empat subjek atau kelas lain yang melaksanakan aktiviti komuniti di sekolah yang sama.
Setiap kumpulan menyediakan permainan dan aktiviti tersendiri untuk murid-murid, namun kumpulan Nurul Syafiera memilih pendekatan berbeza dengan menggabungkan elemen pendidikan kewangan dalam bentuk permainan yang lebih santai dan menyeronokkan.
Antara aktiviti utama yang dirancang ialah Pencarian Harta Karun yang diubah suai mengikut konsep Smart Money Management.
Aktiviti tersebut mempunyai lima stesen yang perlu dilalui oleh murid sebelum mereka mengumpulkan markah dalam bentuk wang berdasarkan prestasi dalam setiap permainan.
Bagi menarik perhatian murid, Nurul Syafiera turut menghasilkan beberapa bahan permainan secara kreatif menggunakan barangan terpakai, termasuk kotak berbentuk tabung dan mesin ATM buatan sendiri.
“Mesin ATM buatan sendiri ini digunakan untuk memberikan pendedahan kepada murid-murid tentang cara menggunakan mesin ATM. Permainan ini turut disertakan dengan kad kredit yang saya reka sendiri,” jelasnya.
Penggunaan mesin ATM tersebut menjadi elemen penting dalam Treasure Hunt apabila murid menerima markah dalam bentuk wang berdasarkan nilai yang diperoleh daripada setiap permainan.
Selain itu, tabung besar yang dihasilkan turut digunakan untuk memperkenalkan konsep berjimat cermat dan amalan menabung kepada murid-murid.
Dalam salah satu permainan, murid perlu bermain permainan radio rosak sebelum memasukkan perkataan yang disampaikan secara berantai ke dalam tabung besar berkenaan.
Bukan itu sahaja, Nurul Syafiera turut menghasilkan kotak lutupan khas yang digunakan semasa majlis pelancaran program sebagai salah satu usaha untuk menceriakan suasana dan menarik perhatian murid sebelum aktiviti bermula.
Menurutnya, keseluruhan program berjalan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada murid-murid yang kelihatan teruja menyertai aktiviti yang disediakan.
“Saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja kami sebagai satu pasukan.
Program kami berjalan dengan lancar dan ramai murid gembira dengan aktiviti yang dilaksanakan oleh UNIMAS,” katanya.
Lebih membanggakan, pengalaman tersebut turut menguji keupayaan beliau memimpin kira-kira 40 rakan sekelas, selain bekerjasama dengan kumpulan daripada subjek lain yang turut menyertai program berkenaan.
Menurut Nurul Syafiera, tanggungjawab sebagai pengarah projek bukan sekadar memastikan aktiviti berjalan mengikut perancangan, malah turut mengajarnya mengurus pasukan, menyelesaikan masalah serta memastikan setiap ahli memainkan peranan masing-masing.
“Saya sangat berbangga dengan pencapaian saya dalam memimpin seluruh kelas yang terdiri daripada 40 orang, tidak termasuk rakan-rakan daripada subjek lain yang turut turun padang,” ujarnya.
Pengalaman turun padang ke SK Panggalan Ampat, Padawan, akhirnya menjadi pengalaman yang bukan sahaja meninggalkan kenangan manis, malah memberikan ruang kepada Nurul Syafiera untuk menerapkan ilmu pengurusan kewangan menerusi pendekatan yang kreatif.
Daripada menyediakan kertas kerja hingga memimpin pelaksanaan aktiviti, pengalaman tersebut membuktikan pembelajaran di universiti tidak terhad di dalam bilik kuliah, sebaliknya turut membuka peluang kepada mahasiswa untuk menyumbang kepada komuniti sambil membina keyakinan diri dan kemahiran kepimpinan. — HAZWANI LIYANA (Pelatih UNIMAS)



