TV Sarawak perlu tepati cita rasa masyarakat lokal

Impian Kerajaan Sarawak untuk memiliki stesen televisyen sendiri akhirnya tercapai. Sebagai rakyat Sarawak, kita cukup bertuah kerana satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai stesen televisyen sendiri. Wartawan Suara Sarawak, GERRALD GILLES menemu bual pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Unimas, JAMILAH MALIKI untuk mendapatkan pandangan dan kupasan mengenai peranan, hala tuju, cabaran dan masa depan TV Sarawak yang belum diberi nama ini.

SUARA SARAWAK:Sarawak akan mempunyai televisyen sendiri. Pandangan puan mengenainya?

JAMILAH MALIKI: Bagi saya, penubuhan TV Sarawak sebagai langkah tepat, seiring pelan transformasi yang sedang dilaksanakan di negeri ini. Ia bukan sahaja menyiarkan berita secara menyeluruh, malah mampu bertindak sebagai wadah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat tempatan secara lebih fokus.

Ia juga sebagai platform anak-anak muda untuk mengetengahkan kandungan kreatif yang dihasilkan mereka. Setinggi-tinggi tahniah atas usaha Kerajaan Sarawak di bawah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang berjaya mendapatkan lesen untuk mengendalikan stesen televisyen sendiri.

Sebelum ini, penyiaran televisyen hanya dikendalikan oleh Kerajaan Pusat dan syarikat televisyen swasta. Maka dengan penubuhan TV ini, Sarawak wajar menjadi inspirasi kepada rakyat sebagai negeri pertama yang memiliki stesen televisyen tersendiri.

Bagaimana ia memberi manfaat kepada rakyat Sarawak dari segi maklumat dan penyampaian berita?

Sarawak terdiri daripada 12 Bahagian dan mempunyai 2.8 juta penduduk. Bahagian-bahagian ini terdiri daripada kalangan masyarakat yang menuturkan dialek berbeza.

Jika matlamat TV Sarawak adalah untuk menyampaikan maklumat secara telus kepada masyarakat, sudah pastinya kepelbagaian bahasa dan latar belakang budaya ini mencipta keunikan kepada TV Sarawak untuk menyiarkan program yang disifatkan mampu menyampaikan maklumat kepada masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Oleh itu, ia diharapkan dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat dengan menyiarkan program, bukan sahaja berkualiti dan relevan, tetapi turut mengambil kira perbezaan budaya serta latar belakang masyarakat.

Penubuhan stesen TV pastinya mempunyai cabaran tersendiri untuk terus bertahan. Apa yang perlu dilakukan?

Pendekatan TV Sarawak bersiaran dengan teknologi penstriman merupakan langkah yang sangat baik. Kemampuan penyediaan kandungan secara strategik perlu difikirkan.

Ia boleh bertindak sebagai penyedia kandungan digital (DCP) dan pada masa yang sama menjadi pengumpul kandungan digital (DCA).

Namun, cabaran yang dihadapi bukan sahaja dari segi teknologi, tetapi turut melibatkan khalayak sasaran. Orang muda zaman sekarang lebih terdedah dengan penggunaan media sosial dan jarang menonton TV.

Jika golongan ini turut menjadi sasaran, maka sewajarnya TV Sarawak memanfaatkan penglibatan dalam media sosial untuk menarik mereka mengikuti program yang disediakan.

Penyampaian berita sekarang lebih cepat kerana maklumat boleh dicapai dari hujung jari melalui media sosial. Bagaimana TV Sarawak menyampaikan maklumat dengan pantas dan tepat kepada orang ramai?

Saya bersetuju apabila anda menyatakan bahawa media sosial membantu penyampaian maklumat dengan lebih cepat dan pantas. Seperti yang saya katakan tadi, TV Sarawak sewajarnya memanfaatkan penglibatan dalam  media sosial.

Wujudkan akaun rasmi TV Sarawak di media sosial dan teaser program boleh diuar-uarkan melalui akaun berkenaan. Kaedah ini bukan sahaja mampu menarik golongan sasar, tetapi juga dapat menyampaikan maklumat dengan lebih pantas kepada masyarakat.

Dari segi pengisian program, apa yang sesuai untuk TV Sarawak dan mengapa ia perlu disiarkan?

Sebagai stesen televisyen, saya menjangkakan TV Sarawak sudah pun menyediakan pelan segmentasi penonton dan narrowcasting tersendiri untuk memenuhi cita rasa pengguna yang pelbagai dan berubah-ubah.

Oleh itu, ia perlu menghasilkan program yang dapat memenuhi keperluan setiap segmen penontonnya, bukan sahaja dari segi jantina, kaum mahupun umur.

Pengisian program perlu mengambil kira beberapa aspek. Yang pertama, bertindak sebagai pemangkin perkembangan dan kemajuan masyarakat setempat.

Dalam konteks ini, penerbit perlu menghasilkan program-program berunsurkan kemasyarakatan yang mengupas permasalahan mereka agar dapat diketengahkan kepada pihak yang berwajib.

Banyak contoh program yang telah disiarkan stesen TV lain sekarang ini. Cuma kalau boleh tumpukan secara lebih mendalam. Ia boleh membantu pihak yang berkaitan melaksanakan tindakan yang sewajarnya.

Program sebegini bukan sahaja dapat menyalurkan isu kepada pihak yang bertanggungjawab, malah secara tidak langsung dapat membantu membasmi permasalahan dalam kalangan masyarakat daripada terus meruncing.

Konsep menang-menang perlu ada. Kedua, dari segi mempromosikan Sarawak. Sarawak memiliki kekayaaan khazanah alam dan budaya. Terbitkan program yang menonjolkan kekayaaan khazanah alam dan budaya masyarakat.

Ia mampu menjadi landasan terbaik untuk menarik pelancong yang ingin melihat sendiri keunikan dan keindahan Sarawak. Secara tidak langsung ia boleh menyumbang kepada ekonomi Sarawak. Sambil menyelam, kita minum air.

Ketiga, dari segi kerelevanan program tersebut kepada khalayak sasaran khususnya dan masyarakat amnya. Program-program yang disiarkan perlu menepati cita rasa masyarakat tempatan.

Fitrah semula jadi manusia tidak dapat lari daripada ingin mendapatkan hiburan dan santai. Dalam hal ini, anak muda Sarawak yang memahami sentimen, budaya dan tradisi negeri wajar diberi ruang untuk menonjolkan kreativiti dan inovasi mereka. Program-program yang dihasilkan perlu memenuhi konsep-konsep ini.

Sarawak Media Group diberikan lesen 10 tahun oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Apa kekuatannya pada masa akan datang?

Masa depan dunia penyiaran tidak menentu. Kita harus akui bahawa cabaran pasti ada untuk TV Sarawak kekal relevan. Ini kerana cita rasa penonton sentiasa berubah-ubah, selari dengan perkembangan teknologi dan semasa.

Persaingan semakin sengit, platformnya juga pelbagai. Kita juga tidak pasti corak bagaimana yang akan menggantikan apa-apa yang ada sekarang.

Industri kreatif dan multimedia secara keseluruhannya bergerak maju dan jauh daripada cara tradisional dan ia semakin kompleks ketika ini.

Justeru, TV Sarawak perlu mampu menavigasi persekitaran yang semakin kompleks agar dapat menjadi sebuah rangkaian yang berdaya saing.

TV Sarawak juga perlu mengenali dan arif tentang cita rasa khalayak (masyarakat) dengan sempurna bagi mendorong kesetiaan mereka sebagai penonton. Dengan mengetahui apa-apa yang khalayak inginkan, TV Sarawak dapat mengumpul dan menjana data yang tepat sebagai kayu ukur untuk menerbitkan program-program yang relevan.

Dalam ucapan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Hari Sarawak 22 Julai lalu, TV Sarawak akan menyediakan platform untuk peminat industri kreatif mempamerkan dan mengembangkan hasil karya mereka. Pandangan puan?

Saya melihat ini sebagai pendekatan yang sangat cemerlang. Peminat industri kreatif perlu didorong dan digalakkan untuk menghasilkan kandungan bermutu dan terbaik.

Seperti yang saya ulaskan sebelum ini, untuk TV Sarawak bertahan dalam arena penyiaran, program yang disiarkan bukan sahaja berkualiti dan relevan, tetapi mampu berdaya saing.

Dalam hal ini, anak muda Sarawak yang memahami sentimen, budaya dan tradisi negeri wajar diberi ruang untuk menonjolkan kreativiti dan inovasi mereka.

Sebelum ini, peluang sebegini sukar diperoleh. TV Sarawak diharapkan dapat menjadi pemangkin bagi membolehkan anak-anak muda negeri ini untuk mengetengah dan membuktikan bakat serta kemampuan mereka dalam industri kreatif.

Anak Sarawak perlu menyahut cabaran Ketua Menteri bagi mempamerkan kreativiti mereka ke seluruh negara.

Suara Sarawak