KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong akan menjalani proses pemulihan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) selama empat minggu di Qatar.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, pemain berusia 25 tahun itu selamat menjalani pembedahan di sebuah hospital di Doha, semalam.
“Setakat ini, apa yang kami tahu, semuanya dalam keadaan baik dan pembedahan telah selamat dijalankan. Saya harap Tze Yong dapat menjalani proses pemulihan dengan tekun,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan di sini, hari ini.
Sebelum ini, BAM mengesahkan Tze Yong mengalami kecederaan tersebut selepas keputusan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) mengesan koyakan ACL pada lutut kanan.
Pemain kelahiran Johor itu mengalami kecederaan ketika aksi pusingan pertama Masters Malaysia 2025 pada Mei lepas, ketika menentang pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long, sekali gus terpaksa menarik diri daripada perlawanan.
Dalam pada itu, Kenny berkata, BAM sedia memberi sokongan kepada pemain profesional, Lee Zii Jia, susulan tindakannya memuat naik beberapa lakaran misteri di media sosial, baru-baru ini.
“Kalau dia memerlukan bantuan dan sokongan, jika kita boleh, kita sentiasa mahu bantu sekiranya ada kepakaran di sini,” katanya.
Sabtu lepas, Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan Zii Jia berada dalam keadaan baik dan tiada perkara yang perlu dibimbangkan mengenai tindakannya itu.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, pihaknya dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, telah menghubungi Team LZJ bagi mendapatkan kepastian berhubung tindakan pemain itu.
Hantaran misteri oleh Zii Jia kini mengumpul lebih 131,000 tanda suka dan lebih 3,000 komen, sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai maksud di sebalik perkongsian tersebut, termasuk dakwaan bahawa pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu mungkin berdepan masalah kesihatan atau mental. – BERNAMA






