ARTIKEL

Foto: Freepix.com

Ubah stigma

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TEMPAT duduk belakang bukan zon selamat tanpa tali pinggang.

Saya percaya, penguatkuasaan tanpa kesedaran tidak akan ke mana-mana.

Itu komen peribadi saya terhadap penguatkuasaan untuk mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar kepada semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran di Sarawak, bermula 1 Julai lalu.

Maknanya, kesedaran untuk patuh terhadap undang-undang adalah perkara nombor satu.

Perancangan kerajaan sudah cukup bagus, ada objektif serta justifikasi jelas mengapa ia dilaksanakan. Tetapi kadang-kadang atau mungkin lazim, manusia ini lebih takut disaman atau dihukum daripada kehilangan nyawa.

Lihat kesalahan pemanduan di lebuh raya terutama di pusingan-P yang selalu dilakukan oleh pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab. Saya percaya, mereka tidak akan melanggar undang-undang jika di situ dipasang kamera litar tertutup (CCTV), yang seterusnya mengakibatkan mereka disaman RM300.

Tetapi mereka akan melanggar undang-undang, jika tiada CCTV.

Betullah, siapakah yang akan tahu mereka salah ketika membuat pusingan-P?

Namun, seandainya kemalangan akibat melanggar undang-undang semasa membuat pusingan-P, dan kemudian mati… mulalah cerita diputar belit.

Sedangkan, mereka sendiri yang melanggar undang-undang semasa membuat pusingan-P.

Maknanya, selagi mentaliti masyarakat tidak berubah, penguatkuasaan amat sukar.

Bagaimanapun tahniah kepada kerajaan yang peka isu penggunaan tali pinggang keledar terutama di tempat duduk belakang.

Misalnya di Sarawak, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin menegaskan penguatkuasaan ini terpakai kepada bas ekspres dan persiaran yang dibuat selepas Januari 2020

. Ia selari aspirasi kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) untuk mengurangkan risiko kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan pengangkutan awam sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

Di Sarawak terdapat 264 bas ekspres yang dikendalikan oleh 19 syarikat.

Sementara 165 bas persiaran di bawah 31 syarikat.

JPJ difahamkan telah mengadakan taklimat kepada semua pengusaha dan operator bas bagi memastikan pematuhan terhadap penguatkuasaan baharu ini.

Untuk rekod, sehingga kini 40 bas ekspres telah dipasang tali pinggang keledar, manakala baki 224 buah lagi merupakan unit yang diperoleh sebelum peraturan ini dikuatkuasakan.

Oleh demikian, JPJ Sarawak akan memberi tempoh masa yang munasabah untuk pengusaha memasang tali pinggang keledar pada bas masing-masing. JPJ Sarawak tidak akan berkompromi terhadap manamana pesalah jalan raya yang mengabaikan keselamatan diri dan pengguna lain sekiranya didapati tidak memakai tali pinggang keledar dan akan dikenakan kompaun sebanyak RM300.

Penumpang bas, tanyalah diri sendiri.

Takut dihukum RM300 atau takut kesan lebih buruk jika berlaku kemalangan?

Letakkan kesedaran kendiri sebagai perkara nombor satu. Sebab apa?

Kalau disaman, RM300 mungkin kita boleh bayar… tetapi jika mati tidak menggunakan tali pinggang keledar, sesuatu yang amat sia-sia.

Kesemuanya terletak atas diri sendiri dan tidak perlu menuding jari ke arah orang lain.

Saya ambil contoh penguatkuasaan penggunaan tali pinggang keledar untuk penumpang belakang melibatkan kereta biasa sejak 1 Januari 2009.

Sebagai pengguna, sejauh mana kita patuh arah penggunaannya? Saya percaya, yang masih ikut arahan tersebut cukup rendah.

Alasannya rimas. Ada yang menganggap pemakaian tali pinggang di belakang menyusahkan, terutama dalam perjalanan singkat atau di dalam kereta sesak.

Penumpang dewasa dan kanak-kanak juga kadangkadang berkongsi tempat duduk, menjadikan tali pinggang sukar digunakan.

Kalau ada pemeriksaan oleh penguat kuasa pun, mereka hanya tengok pemandu atau penumpang di hadapan.

Sementara yang di belakang, terpulang.

Betul?

Tepuk dada tanya selera.

Fokus penguatkuasaan lebih banyak diberikan kepada pemandu dan penumpang hadapan.

Sedangkan di belakang? Penguatkuasaan yang tidak tegas dan konsisten menyebabkan ramai tidak mengambil serius keperluan tersebut.

Untuk penumpang, walaupun tidak diperiksa, kita sendiri yang perlu berjaga-jaga kerana di atas jalan raya, bukan sahaja perlu takut disaman, tetapi takutlah jika berlaku terjadi sesuatu yang buruk.

Fahami bahawa arahan yang dibuat melalui pindaan kepada Kaedah-kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan 2008) di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu sangat relevan.

Ia tidak menjadikan kita rimas atau kurang selesa, sekiranya kita melihat arahan kerajaan itu sebagai langkah positif.

Sebab itu dalam survei, cabaran utama penggunaan tali pinggang keledar (untuk penumpang) kerana kurangnya kesedaran dan sikap sambil lewa pengguna Ramai penumpang belakang menganggap pemakaian tali pinggang keledar tidak penting, kerana mereka tidak duduk di bahagian hadapan.

Terdapat tanggapan salah bahawa tempat duduk belakang adalah “selamat” tanpa tali pinggang. Kajian awal oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan kurang daripada 10 peratus penumpang belakang memakai tali pinggang walaupun selepas penguatkuasaan.

Berapa banyak jumlah 10 peratus itu? Maka, sudah terhantuk baru hendak terngadah… hanya menyedari kesilapan atau bahaya setelah ditimpa musibah atau kerugian.

Ayuh pengguna jalan raya, sekarang kita ubah stigma duduk di belakang tanpa tali pinggang keledar itu selamat. Saya tegaskan tidak selamat sama sekali.

Semaikan sikap untuk patuh arahan.

BERITA LAIN

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

BERITA TERBARU

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan