KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) julung kali menganjurkan Konsert Diraja UKM 2026 di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), malam tadi bagi memperkasa aktiviti akademik, penyelidikan dan pembangunan universiti.
Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sufian Jusoh berkata hasil jualan tiket akan dimanfaatkan bagi memastikan kelestarian aktiviti universiti, selain memperkukuh kerjasama UKM dengan DFP dan memberi peluang pelajar membuat persembahan di dewan bertaraf dunia.

Beliau berkata kerjasama UKM, beberapa universiti awam, DFP dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) turut merangkumi latihan industri dalam seni persembahan, reka bentuk, sistem, kecerdasan buatan (AI) dalam muzik dan seni bina.
Menurut Bernama, konsert bertemakan Simfoni Diraja: Legasi Irama Sepanjang Zaman itu disempurnakan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku Tuanku Canselor UKM dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, serta dikendalikan Maestro Datuk Dr Johari Salleh bersama Orkestra Kuala Lumpur.

Persembahan turut menampilkan pelajar UKM menerusi Kumpulan Tarian Aadyamaatra ARTISUKMA dan penyanyi Rifdy Khairy Kipli, Adam Harith Putera, Nur Fatin Alyana serta Ana Batrisya, selain Nadeera Zaini, Dayang Nurfaizah dan Datuk Zainal Abidin. Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz turut mencuri perhatian menerusi persembahan piano Getaran Jiwa diiringi Orkestra Kuala Lumpur.



