KUCHING: Ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ke-87 meriah disambut di salah sebuah hotel terkemuka, di sini, malam tadi.
Tun Taib dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib tiba sekitar jam 8.30 malam disambut kepimpinan tertinggi negeri.
Antaranya Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dalam ucapan khas berkata, Tun Taib seorang pemimpin bertanggungjawab.
“Tun Taib sangat mengutamakan nilai perpaduan antara kaum serta mempertahankan keamanan dan keharmonian di Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, majlis ulang tahun berkenaan diserikan dengan persembahan nyanyian dan upacara memotong kek hari jadi serta pulut kuning.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian turut hadir.
Antara lain, bekas Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Patinggi Dr George Chan Hong Nam, Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.






