KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal komited melaksanakan tanggungjawab dalam Kerajaan Persekutuan sehingga akhir penggal Parlimen.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata komitmen BN dibuat bagi membantu mewujudkan kestabilan politik negara dan tidak boleh ditarik balik secara semberono.
Menurut Bernama, Menteri Pertahanan itu berkata walaupun BN bertanding menentang Pakatan Harapan (PH) dan PKR dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN), keputusan di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan tidak menjejaskan komitmen BN di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata perbezaan pentadbiran negeri tidak menghalang kerjasama di peringkat Persekutuan. BN melihat Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai keputusan yang perlu diuruskan apabila tiba masanya.
Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PKR akan terus bekerjasama dengan BN dan UMNO di peringkat Persekutuan bagi menjamin kestabilan politik serta kemakmuran rakyat.



