ARTIKEL

MAHASISWA UNIMAS bergambar kenangan bersama perajin tenun di Rumah Betang Ensaid Panjang.

UNIMAS kukuh jalinan rentas negara di Sintang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SINTANG: Pendidikan rentas negara bukan sahaja mengukuhkan silaturahim, malah memberi peluang kepada para penuntut menghayati pembelajaran bernilai tinggi.

Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Dilah Tuah, menekankan kepentingan pembelajaran yang mengasyikkan.

“Pelajar harus keluar dari bilik kuliah supaya mereka dapat menghayati kepelbagaian budaya serta mendalami jati diri mereka.

“Inilah kaedah pembelajaran yang amat tinggi nilainya, yang tidak dapat disamakan dengan wang,” katanya dalam ucapan semasa Program Mobiliti Pelajar 2025 anjuran UNIMAS menerusi Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi bersama Sekolah Tinggi Keguruan dan Ilmu Pendidikan (STKIP) Persada Khatulistiwa Sintang, Kalimantan Barat.

Jelasnya, pendidikan rentas negara telah mengukuhkan jalinan antara pihak UNIMAS dan STKIP Persada Khatulistiwa Sintang.

Sementara itu, pensyarah selaku Ketua Pengiring Program Mobiliti Pelajar 2025, Fatin Ardani Zamri, melihat program ini bukan sekadar perjalanan mobiliti, namun lebih kepada perjalanan mencari identiti diri.

“Walau dulu dipisahkan oleh penjajah, kini dipisahkan oleh kuasa pemerintah, kita tetap serumpun dan setanah,” ujarnya.

DR DILLAH TUAH

Program selama enam hari bermula 9 hingga 14 Jun lalu itu disertai oleh 18 delegasi terdiri daripada dua pensyarah serta 16 mahasiswa dan mahasiswi.

Mereka diberi peluang merasai pengalaman pembelajaran rentas budaya melalui lawatan akademik dan kegiatan warisan tempatan.

Program dimulakan dengan kunjungan ke Rumah Betang Ensaid Panjang.

Penduduk tempatan di situ memperkenalkan teknik pewarnaan alami dan hasil tenunan tradisional masyarakat Dayak yang menjadi lambang identiti budaya setempat.

Delegasi turut melawat tempat bersejarah di Sintang seperti Muzium Kapuas Raya, Rumah Adat Melayu, Rumah Belajar Kain Pantang, dan Keraton Sintang.

PESERTA Program Mobiliti UNIMAS bersama penuntut STKIP Persada Khatulistiwa dan warga Rumah Betang Ensaid Panjang.

Rombongan bukan sahaja didedahkan kepada sejarah dan ekologi kawasan, malah diberikan peluang melihat sendiri kehalusan seni serta makna di sebalik adat dan tradisi yang diwarisi turun-temurun.

Program turut diisi dengan seminar pendidikan yang disampaikan oleh pensyarah UNIMAS serta sesi perkongsian ilmu antara pelajar kedua-dua institusi.

Aktiviti sukan seperti perlawanan bola tampar persahabatan turut diadakan bagi mengeratkan hubungan dan membina semangat kerjasama antara kedua-dua pihak.

Kemuncak program berlangsung pada 13 Jun apabila pelbagai persembahan kebudayaan diadakan sempena malam penutupan.

PENUNTUT UNIMAS mencuba mewarnakan benang yang digunakan untuk menenun daripada bahan pewarna alami di Rumah Betang Ensaid Panjang.

Antaranya, persembahan silat oleh Azlan bin Rosli, pementasan teater Puteri Santubong, Puteri Sejinjang, serta nyanyian dan tarian lagu tradisional Sarawak yang menggambarkan keunikan budaya Malaysia.

Penampilan pentas seni kepelbagaian budaya serta permainan tradisional turut menjadi tarikan utama.

Program berakhir pada 14 Jun dengan pelepasan rasmi oleh pihak STKIP kepada delegasi UNIMAS sebelum mereka bertolak pulang ke Sarawak.

Secara keseluruhan, program ini menjadi platform bermakna dalam memperkukuhkan hubungan akademik dan budaya antara Malaysia dan Indonesia serta memperluas jaringan pendidikan serantau.

WARGA kampus STKIP Persada Khatulistiwa menyambut ketibaan rombongan UNIMAS dengan meriah.

BERITA LAIN

Pesta Tanglung Mukah 2026 tarik 7,000 pengunjung

MUKAH: Kira-kira 7,000 pengunjung membanjiri Pesta Tanglung Bahagian Mukah 2026, mencatatkan peningkatan kehadiran berbanding penganjuran tahun sebelumnya. Pesta yang memasuki edisi kelima sejak diperkenalkan pada

BERITA TERBARU