ARTIKEL

Ahmad Faizal Osman

UPSR dan PT3 masih relevan sebagai penanda aras nasional

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) masih relevan dan wajar dipertimbangkan untuk dikembalikan sebagai penanda aras nasional yang mampu memberi gambaran asas mengenai literasi, numerasi serta keupayaan akademik murid.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit, Ahmad Faizal Osman berkata, langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengkaji semula pengembalian UPSR dan PT3 adalah tepat pada masanya kerana ia membantu kementerian, sekolah dan guru memahami tahap sebenar penguasaan murid secara lebih seragam.

Menurutnya, perbezaan tahap pencapaian murid dapat dilihat apabila dibandingkan antara era pelaksanaan UPSR dan PT3 dengan tempoh selepas pemansuhannya, khususnya dari segi konsistensi penguasaan asas.

“Dalam era UPSR dan PT3, penguasaan kemahiran asas lebih mudah dipantau secara menyeluruh.

“Selepas pemansuhan, terdapat murid yang berjaya berkembang secara holistik, namun ada juga yang sampai ke peringkat lebih tinggi dengan kelemahan asas yang tidak disedari lebih awal,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Selain itu, katanya, ketiadaan UPSR dan PT3 turut memberi kesan terhadap motivasi, disiplin pembelajaran dan tahap kesediaan akademik sebahagian murid.

“Sebahagian murid kelihatan kurang mempunyai sasaran pembelajaran yang jelas, terutamanya pelajar yang memerlukan struktur dan dorongan luaran untuk kekal fokus,” jelasnya.

Mengulas sistem penilaian sedia ada, katanya, pendekatan tersebut mempunyai kekuatan dari segi menilai murid secara holistik, namun masih memerlukan penambahbaikan dari segi keseragaman dan kebolehpercayaan.

“Bagaimanapun, ini bukan bermakna sistem baharu gagal sepenuhnya, tetapi menunjukkan keperluan kepada mekanisme pemantauan yang lebih kukuh dan seragam.

“Walaupun UPSR dan PT3 masih relevan, ia juga bukan satu-satunya penentu kejayaan murid,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, sekiranya UPSR dan PT3 dikembalikan, pendekatan peperiksaan itu perlu bersifat diagnostik dan tidak terlalu berorientasikan kedudukan atau perbandingan semata-mata.

“Tekanan boleh dikurangkan dengan mengecilkan skop kandungan, memberi penekanan kepada kefahaman dan aplikasi, serta memastikan keputusan digunakan untuk intervensi dan sokongan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ahmad juga berpandangan warga pendidik, melalui aspek pengalaman, mempunyai asas profesionalisme dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan pengembalian UPSR serta PT3, namun pelaksanaannya perlu disokong dengan persediaan rapi.

“Kesediaan sepenuhnya memerlukan latihan yang jelas, garis panduan yang konsisten serta sokongan sumber yang mencukupi.

“Sekolah dan guru tidak seharusnya dibebankan dengan perubahan secara mendadak.

“Jika pelaksanaannya dirancang secara berperingkat dan disokong dengan latihan berterusan, saya yakin warga pendidik mampu melaksanakannya dengan baik,” katanya.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

Pilih makanan halal, berkhasiat

SOALAN: Adakah Islam mengajar umatnya supaya sentiasa memilih makanan berkhasiat? JAWAPAN: Ya, Islam mengajar umatnya supaya memilih makanan yang halal, baik dan berkhasiat demi menjaga

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan