Kalsum Mohammadin
Judul Buku : Sisa Pepejal dan pengurusan Hijau
Penulis Buku: Devagi Kanakaraju
Penerbit: Unimas Publisher, Univerisiti Malaysia Sarawak
Harga: RM27.30 (Selepas diskaun 30 peratus)
Halaman: 79
BUKU Sisa Pepejal dan Pengurusan Hijau membincangkan tahap kesedaran orang ramai tentang kepentingan pengurusan sisa pepejal di Malaysia yang masih rendah dan perlu sentiasa didedahkan dengan maklumat.
Menurut Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Datuk Rizalman Datuk Mokhtar, dianggarkan lebih 38,000 tan sisa domestik dan 17,000 tan sisa makanan dihasilkan rakyat Malaysia setiap hari ketika ini.
Malah, sisa plastik menjadi bahan paling banyak dihasilkan dan digunakan seluruh dunia.
Kehadiran pandemik Covid-19 memburukkan lagi situasi pencemaran plastik susulan penggunaan pelbagai jenis plastik bagi mengawal penularan wabak seperti plastik sanitasi, pelindung muka, sarung tangan dan pelitup muka.
Angka ini dijangka terus meningkat susulan peningkatan jumlah penduduk saban tahun.
Lebih membimbangkan kesan daripada pengurusan sisa tidak efi sien mendatangkan implikasi serius kepada alam sekitar dan punca pelbagai jenis penyakit.
PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB
Masalah sama dihadapi setiap tahun memerlukan perubahan sikap orang ramai dalam memastikan pengurusan sisa pepejal lebih efektif.
Justeru, buku ini ditulis sebagai panduan dan didikan kepada pembaca berkaitan aspek penting dalam pengurusan sisa dan hijau untuk setiap lapisan masyarakat.
Penulis turut mengajak setiap lapisan masyarakat mengambil serius isu ini serta memainkan peranan dan tanggungjawab dalam pengurusan sisa dihasilkan bagi memastikan bumi ini selamat, terpelihara dan terpulihara.
Buku ini terbahagi kepada lima bab iaitu memberi gambaran tentang keseriusan isu penghasilan sisa pepejal, pengenalan kepada sisa pepejal, pengurusan sisa pepejal di rumah, kaedah kitar semula dan konsep pengurusan hijau.
Dalam pada itu, penulis turut mendedahkan kadar kitar semula di Malaysia yang direkodkan masih rendah — hanya 24.6 peratus sejak dilancarkan pada 1993 berbanding 30 hingga 50 peratus di negara maju.
Malah, di Malaysia penduduk masih menjadikan pembuangan sampah sebagai pilihan utama walaupun sekitar 70 hingga 80 peratus bahan buangan rumah boleh dikitar semula.
Selain itu, kaedah pengomposan dan kaedah hijau berkesan turut disarankan penulis bagi mengurangkan pembuangan sisa ke tapak pelupusan sampah.
Kaedah ini lebih kepada proses semula jadi untuk mengitar semula bahan organik bagi menghasilkan baja lebih selamat untuk alam sekitar dan memperkaya tanah dan tumbuhan.
Menariknya, proses inovatif pengomposan — Takakura (Takakura Home Composting) yang diperkenalkan oleh Kitakyusyu International Technology, Cooperative Association (Kita) di Jepun turut diperkenalkan.
Jadi, pendekatan ini mampu mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan baja komersial dan mempunyai banyak manfaat iaitu lebih mudah, cepat, penggunaan ruang lebih kecil, murah dan berteknologi rendah serta tidak menghasilkan bau kuat.
Model praktis, didik, sikap dan peraturan (Pear) merupakan model holistik bagi merumuskan usaha, solusi atau strategi sedia ada yang boleh dipraktikkan pelbagai pihak.
Pendekatan model Pear boleh dijadikan asas bagi menganalisis pendekatan sedia ada dan merangka solusi atau intervesi bertepatan dengan situasi dan kehendak semasa.
Pengurusan hijau dan dasar teknologi hijau menjadi agenda nasional yang perlu dijadikan keutamaan dan sisa buangan dihasilkan perlu diubah suai atau dikitar semula untuk tujuan penggunaan semula bagi memupuk gaya hidup lestari.
Tulisan Sisa Pepejal dan Pengurusan Hijau dijual pada harga RM27.30 selepas potongan harga 30 peratus.
Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi Syairazi Shamsuddin di talian 014 997 7090 atau Hamidah Azman — 019 499 2901.
Urus SISA PEPEJAL dianggarkan lebih 38,000 tan sisa domestik dan 17,000 tan sisa makanan dihasilkan rakyat Malaysia setiap hari ketika ini.
Malah, sisa plastik menjadi bahan paling banyak dihasilkan dan digunakan seluruh dunia. 019 499 2901.



