PENCERAPAN merupakan satu usaha untuk mengkaji dan memahami objek serta fenomena yang berlaku di angkasa lepas atau alam sekitar.
Ia boleh merangkumi pelbagai aspek termasuk pemerhatian bintang, bulan, planet, matahari, dan fenomena astronomi seperti gerhana, hujan meteor, serta kedudukan objek cakerawala.
Dalam konteks astronomi, aktiviti pencerapan sering dilakukan menggunakan teleskop, binokular, atau dengan mata kasar bergantung jenis objek yang ingin diperhatikan.
Selain itu, pencerapan juga melibatkan penggunaan teknologi moden seperti kamera Peranti Gandingan Cas (CCD) dan perisian pemprosesan imej untuk mendapatkan data yang lebih tepat dan jelas.
Aktiviti ini bukan sahaja dilakukan oleh ahli astronomi profesional, tetapi juga oleh masyarakat umum yang berminat dalam ilmu falak.
Ia turut memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan, penyelidikan, dan pembangunan teknologi angkasa.
LAWATAN PENANDA ARAS KE BALAI CERAP KOTA BHARU
Balai Cerap Kota Bharu terletak di Kubang Rawa, Salor, Kelantan merupakan sumbangan geran daripada Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bernilai RM250,000 yang diserahkan kepada Persatuan Astronomi (Falak) Amatur Kelantan.
Persatuan ini dipelopori oleh seorang pencinta astronomi, yang juga pakar bius dan pensyarah di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, iaitu Prof. Dr Mahamarowi Omar.
Di sini, terdapat lebih tujuh teleskop milik peribadi beliau, setiap satu bernilai hampir RM30,000 dan mempunyai pelbagai jenis serta fungsi.
Ramai penyelidik, pegawai Pejabat Mufti, serta pakar-pakar falak dan astronomi datang sendiri untuk belajar daripada beliau.
Semasa lawatan ini, para pelawat diberi taklimat mengenai teleskop dan pengaturcaraan program astronomi.
IMKANUR RUKYAH
Pencerapan hilal ialah proses melihat anak bulan untuk menentukan permulaan bulan dalam kalendar Islam.
Ia memainkan peranan penting dalam menetapkan tarikh bagi Ramadan, Syawal dan Zulhijah yang berkaitan dengan ibadah puasa serta perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.
Cerapan hilal Sarawak
Di Malaysia, pencerapan hilal dilakukan menggunakan kaedah Imkanur Rukyah, iaitu gabungan antara rukyah (pengamatan secara langsung) dengan hisab (pengiraan astronomi).
Anak bulan boleh dilihat ketika matahari terbenam dengan syarat ketinggiannya tidak kurang daripada tiga darjah, dan jarak lengkung bulan ke matahari tidak kurang daripada 6.4 darjah.
Jika syarat ini dipenuhi pada hari ke-29 Hijrah, keesokan harinya menjadi 1 hari bulan bagi bulan seterusnya.
Jika tidak, bulan tersebut dilengkapkan menjadi 30 hari.
Pencerapan hilal memerlukan peralatan khas seperti teodolit untuk mengukur sudut ketinggian bulan, teleskop untuk melihat anak bulan dengan lebih jelas, dan binokular, iaitu alat tambahan bagi pemerhati.
PENCERAPAN HILAL SYAABAN DI BALAI CERAP KUSZA
Balai cerap ialah lokasi atau bangunan yang digunakan untuk mencerap fenomena cakerawala seperti bintang, planet dan komet.
Ia juga berfungsi sebagai pusat kajian dalam bidang ilmu falak bagi tujuan penentuan waktu solat, arah kiblat dan pencerapan hilal.
Balai cerap turut berperanan sebagai pusat pendidikan dengan menyediakan latihan, kursus serta seminar kepada pelajar dan masyarakat umum.
Penyelidikan saintifi k, iaitu aktiviti pengumpulan data untuk tujuan kajian sains, turut dijalankan di sini.
Pada 30 Rejab 1446H, bersamaan 30 Januari lalu, Jabatan Mufti Negeri Terengganu bersama-sama ESERI UniSZA, yang terdiri daripada penyelidik, pengamal falak dan ahli astronomi, menjalankan pencerapan terhadap anak bulan Syaaban.
Namun, disebabkan keadaan langit yang berawan, anak bulan hanya dapat dilihat selama beberapa detik sahaja.
Lazimnya, kerja-kerja berkaitan pencerapan hanya melibatkan agensi yang berkaitan falak seperti Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS), Jabatan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Sarawak dan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Namun, atas kepesatan ilmu dan minat yang tinggi, ramai individu menceburkan diri dalam aktiviti pencerapan bagi tujuan latihan dan pengembangan kemahiran.
Antara pertubuhan buk kerajaan yang sangat aktif dalam bidang ini ialah Dark Sky Malaysia Sarawak.
Kewujudan badan seperti ini amat penting bagi menyokong dan mendukung Kelab Falak Astronomi MATTARY-SRTH.
Berbekalkan pengalaman mencerap bersama agensi berkaitan falak, pencerapan hilal Ramadan dijalankan di Damai Sentral.
Lokasi ini dipilih kerana kawasan tersebut bebas daripada halangan pandangan, sekali gus penting bagi tujuan pengamatan.
Hilal hanya dapat disaksikan pada hari kedua pencerapan dan memenuhi kriteria Imkanur Rukyah MABBIM, iaitu kriteria kebolehnampakan anak bulan yang digunakan oleh negaranegara anggota MABBIM iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura dalam penentuan awal Hijri.
Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) ialah sebuah badan kebahasaan serantau yang bertujuan membangun dan mengembangkan bahasa Melayu dan Indonesia sebagai bahasa ilmu, sains, teknologi, ekonomi dan peradaban tinggi.
Majlis ini pada asalnya dikenali sebagai Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) yang ditubuhkan pada 29 Disember 1972.
Apabila Brunei Darussalam menyertai sebagai anggota tetap pada 4 November 1985, namanya ditukar kepada MABBIM.
Kriteria Imkanur Rukyah yang digunakan sebelum ini menetapkan bahawa anak bulan dianggap boleh dilihat jika ketinggian bulan ketika matahari terbenam tidak kurang daripada dua darjah, jarak lengkung antara bulan dengan matahari tidak kurang daripada tiga darjah dan umur bulan tidak kurang daripada lapan jam selepas ijtimak.
Namun, kriteria ini dikaji semula dan diperbaharui dalam mesyuarat MABBIM.
Kriteria baharu yang diterima pakai menetapkan bahawa ketinggian bulan ketika matahari terbenam tidak kurang daripada tiga darjah dan jarak lengkung antara bulan dengan matahari tidak kurang daripada 6.4 darjah.
Perubahan ini bertujuan meningkatkan ketepatan dalam penentuan awal Hijri dan memastikan keseragaman antara negara-negara anggota MABBIM.
Di Sarawak, terdapat beberapa lokasi yang digunakan untuk cerapan hilal dan kajian astronomi.
Antara balai cerap yang dikenali ialah Pusat Falak Miri yang merupakan salah satu lokasi utama untuk cerapan anak bulan di Sarawak, Teluk Bandung di Kuching yang sering digunakan sebagai tempat cerapan anak bulan serta Pusat Falak Bintulu yang turut terlibat dalam aktiviti cerapan hilal.
Sebagai kesimpulan, aktiviti mencerap membawa pelbagai kebaikan dari sudut akademik, teknologi mahupun pemahaman tentang semesta.
Ia membantu meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang astronomi, mengasah kemahiran pemerhatian dan memupuk minat terhadap sains.
Selain itu, aktiviti mencerap juga mengajar kita untuk lebih menghargai keindahan alam serta keajaiban ciptaan Tuhan.
Dengan teknologi yang semakin maju, aktiviti ini menjadi lebih mudah diakses dan mampu membuka ruang kepada lebih ramai individu untuk meneroka dunia kosmos.
Semoga minat terhadap aktiviti mencerap terus berkembang dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.



