KUCHING: Usaha berterusan Kerajaan Sarawak mempertahankan hak mutlak ke atas sumber gas asli perlu dihormati.
Ia tidak boleh dipertikaikan oleh pihak lain, termasuk PETRONAS dan para cerdik pandai, yang sentiasa bersifat berat sebelah.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi, berkata hak itu, berasaskan undang-undang Sarawak yang masih berkuat kuasa hingga kini, sangat penting bagi memastikan kerajaan dapat mengawal sepenuhnya sumber gas asli negeri demi kesejahteraan rakyat Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.
“Oleh itu, saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa pelantikan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) sebagai agregator gas tunggal adalah muktamad dan tidak boleh dirunding.
“Bermakna tidak ada agregator gas lain di Sarawak melainkan PETROS sahaja,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Menurutnya, Sarawak menyumbang sebanyak 60 peratus sumber gas asli di Malaysia, namun sebanyak 94 peratus daripada gas asli yang dihasilkan di Sarawak dieksport dan tidak dimanfaatkan untuk pembangunan industri tempatan di Sarawak.
“Sudah tiba masanya untuk kita memanfaatkan sumber gas asli kita bagi memajukan industri di Sarawak.
“Apa masalahnya dengan usaha kita untuk membangunkan Sarawak sedangkan pembangunan Sarawak juga menyumbang kepada pertumbuhan dan kemakmuran Malaysia secara keseluruhannya?
“Malaysia merangkumi Semenanjung, Wilayah Sarawak dan Sabah.
“Oleh yang demikian, ini bukan sekadar membicarakan soal kepentingan Sarawak sahaja tetapi ia juga memperkukuh dan meningkatkan sektor ekonomi di seluruh negara,” katanya.
Justeru, tegas Julaihi, sudah tiba masanya pemimpin Malaysia membuka mata dan minda untuk melihat perspektif pembangunan negara yang lebih menyeluruh, dan tidak terikat dengan perspektif pembangunan di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur sahaja.
PETROS, yang merupakan syarikat milik Kerajaan Sarawak, dilantik sebagai agregator gas tunggal berkuat kuasa 1 Februari 2024, sekali gus berperanan menjalankan semua aktiviti yang berkaitan dengan perolehan, pembekalan, pengedaran dan penjualan gas asli di Sarawak.
Agregator gas juga bertanggungjawab mengatur perancangan, pembangunan, operasi dan penyelenggaraan sistem rangkaian pengedaran gas asli di Sarawak.






