ARTIKEL

Gambar hiasan | Freepik.com

Utama keselamatan semasa banjir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BANJIR sering menjadi kebimbangan penduduk yang tinggal di kawasan kerap banjir atau berisiko tinggi kerana ia merupakan satu keadaan luar jangka, yang boleh berlaku pada bila-bila masa. 

Ada beberapa kawasan kerap berlaku banjir kilat.

Sudah pasti penduduk di kawasan tersebut bimbang dengan kecepatan air naik dan sebagainya.

Lebih parah apabila penduduknya tidak sempat membuat persiapan atau menyimpan dokumen penting. Ini akan memberikan kesan negatif.

Bagaimanapun, bagi yang pernah mengalaminya, mereka mungkin sudah membuat persediaan awal dengan menyimpan barang penting di tempat tinggi atau dalam bekas kalis air.

Melihat trend cuaca ketika ini, kebimbangan pasti ada kerana hujan lebat sering diramal berlaku yang memberikan risiko untuk berlaku banjir kilat.

Dengan ramalan cuaca yang sentiasa dikemas kini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, tidak kira di laman sosial Facebook atau di media arus perdana, ia sudah cukup untuk kita mengambil langkah berjaga-jaga.

Walaupun hanya ramalan, setidak-tidaknya dengan perkembangan berkenaan, kita boleh membuat persediaan terutama sekali menyimpan dokumen penting, memastikan barangan elektrik berada di tempat tinggi dan sebagainya.

Perkara sebegini akan membantu semua penduduk di kawasan berisiko atau kerap banjir membuat persediaan sewajarnya supaya barang tidak rosak dan barangan penting tidak hilang.

Awasi anak-anak

Apa lagi mereka yang mempunyai anak-anak yang masih kecil.

Keadaan hujan atau banjir akan lebih menarik perhatian mereka untuk bermain air tanpa memikirkan bahaya.

Lebih membimbangkan di kawasan yang mempunyai buaya.

Kita khuatir keadaan banjir ini boleh menjadi risiko buaya naik ke darat.

Disebabkan itu, kita perlu memantau anak-anak dan meletakkan keselamatan sebagai perkara utama.

Bagaimanapun, pihak berwajib tidak akan membiarkan masyarakat menghadapi banjir sendirian.

Seperti biasa, akan ada bantuan diberikan kepada mereka tetapi persediaan awal masyarakat yang terlibat juga penting.

Memetik laporan berita, seramai 1,262 pegawai dan anggota polis kontinjen Sarawak bersiap sedia digerakkan jika banjir melanda negeri ini.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, daripada jumlah itu, 187 pegawai manakala 1,075 anggota pangkat rendah.

Jumlah ini juga membabitkan pegawai dan anggota pelbagai jabatan, formasi serta semua daerah di Sarawak.

Beliau memberitahu, Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan bahawa Monsun Timur Laut berlaku sejak 11 November tahun lalu dan dijangka berlarutan sehingga Mac ini.

Susulan itu, polis selaku komander Ops Banjir diletakkan dalam keadaan siap siaga sepanjang masa.

Dalam hal berkaitan, untuk memperkasa kesiapsiagaan terhadap risiko banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), mahu zon tengah dan zon utara Sarawak dilengkapkan dengan depoh masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Seri Fatimah Abdullah memaklumkan, negeri ini hanya memiliki sebuah depoh yang besar dengan kapasiti 420 tan muatan diisi dengan kelengkapan pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Samarahan.

Jelasnya, disebabkan itu, mereka minta agar Kerajaan Sarawak mewujudkan dua depoh di kedua-dua kawasan berkenaan sebagai persiapan untuk berhadapan dengan banjir.

Pangkalan hadapan

Beliau juga memberitahu, JKMS sudah menyediakan bekalan keperluan di 29 pangkalan hadapan di negeri ini, khususnya kepada penduduk luar bandar.

Persediaan ini melibatkan penyediaan bekalan kepada mereka yang berada di kawasan jarak jauh serta mangsa yang mengalami jalan terputus.

Melihat persiapan yang dilakukan oleh pihak berkuasa, memang isu banjir ini telah mendapat perhatian yang sewajarnya.

Bahkan, pelbagai persiapan sudah mula bergerak ketika ini.

Yang penting ialah penduduk terlibat perlu memberikan kerjasama yang baik untuk mengelak daripada perkara yang tidak diingini berlaku.

Kata orang dalam musim hujan kini, adalah lebih baik kita tidur-tidur ayam dan sentiasa peka terhadap keadaan cuaca serta paras air.

BERITA LAIN

Ancaman halus dunia hiburan

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme

BERITA TERBARU