Vaksin Covid-19 jadi rebutan

SEJAK wabak Covid-19 melanda seluruh dunia sekitar Mac lalu, kehidupan semua orang telah berubah 360 darjah.

Apa yang biasa kita lakukan sebelum ini seperti berkumpul beramai-ramai, tidak lagi disarankan kerana risiko jangkitan pembunuh senyap itu.

Tetapi tahukah anda, China yang merupakan negara pertama di dunia yang menyebarkan virus maut itu kini dilaporkan semakin bebas wabak tersebut?

Wuhan yang menjadi lokasi pertama kes, sekarang ini sudah pun tiada kes.

China kini giat melaksanakan kempen yang menonjolkan Wuhan berjaya menangani pandemik itu.

Penduduknya tidak lagi menggunakan pelitup muka atau mengamalkan penjarakan fizikal.

Malah China juga berjaya menghasilkan vaksin Covid-19.

Ya. China antara negara pertama yang menjalankan eksperimen vaksin Covid19.

Menurut laporan AFP pada April lalu, seorang penyelidik dari Sinovac Biotech di Beijing bertanggungjawab dalam eksperimen dan seterusnya menghasilkan vaksin berkenaan.

Ketika itu, vaksin tersebut masih belum dipasarkan kerana memerlukan proses kelulusan ketat dan pelbagai ujian.

Akhirnya, usaha tersebut berhasil apabila dalam Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China pada September lalu, China buat pertama kali mempamerkan vaksin Covid-19 kepada dunia.

Ini menunjukkan China tidak pernah berputus asa mencari penawar terhadap virus maut itu! Melihat kepada rentetan itu, China kini menjadi antara pembekal utama vaksin Covid-19 kepada seluruh dunia.

Media antarabangsa melaporkan hampir seluruh negara mahu mendapatkan vaksin dari China, dan Malaysia tidak terkecuali.

Malaysia disenaraikan sebagai negara yang akan diberi keutamaan untuk menerima vaksin Covid-19 dari China.

Ini yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 26 November lalu.

Pengumuman ini merupakan berita baik untuk seluruh rakyat Malaysia.

Bagaimanapun tahukah anda, United Kingdom (UK) juga berjaya menghasilkan vaksin Covid-19.

Dibangunkan oleh firma farmaseutikal AstraZeneca dan Universiti Oxford, vaksin ini diberi nama AZD1222 atau ChAdOx1 nCoV-19.

Perunding dan penyelidik utama Kumpulan Vaksin Oxford, Maheshi Ramasamy berkata, vaksin ini menghasilkan tindak balas imun yang kuat kepada orang tua, sekali gus memberi harapan ia mampu melindungi penyakit mudah berjangkit, berdasarkan data daripada ujian peringkat pertengahan.

Maka, tidak hairanlah jika Thailand pada minggu lalu membeli 26 juta dos vaksin ini untuk 13 juta rakyatnya dari firma farmaseutikal dari UK itu.

Pemeteraian perjanjian dengan AstraZeneca, vaksin itu boleh dihasilkan secara tempatan di negara berkenaan kelak.

Filipina juga baru-baru ini menandatangani perjanjian dengan AstraZeneca untuk pembelian 2.6 juta dos vaksin.

Selain itu, Indonesia turut menggunakan vaksin dari China dan UK.

Indonesia sedang membangunkan vaksin yang dinamakan vaksin Merah Putih dan dijangka dikeluarkan pada pertengahan 2021, kata Presiden Indonesia Joko Widodo.

Vaksin itu kini dilaporkan memasuki fasa ketiga ujian dan jika berjaya, Indonesia bakal mengeluarkan 290 juta dos vaksin menjelang akhir 2021.

Melihat kepada kejayaan positif dalam penghasilan vaksin Covid-19, ubat penawar virus maut itu semakin hampir ditemui.

Meskipun keberkesanan vaksin itu bukan seratus peratus, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat menarik nafas lega.

Semoga virus Covid-19 terhapus di muka bumi ini dan kehidupan kita kembali seperti biasa.