LIMA SEKAWAN membentuk sebuah kumpulan muzik dengan nama Viceroyz menyimpan hasrat besar untuk melebarkan sayap dalam industri muzik tanah air.
Viceroyz terdiri daripada Nick Nebles sebagai penyanyi utama dan pemain gitar. Nick berperanan menghasilkan lagu bagi kumpulan ini.
Seterusnya, Mike Sullivan sebagai penyanyi kedua dan pemain gitar kedua. Selain itu, Steve Smith pula berperanan sebagai pemain gitar bes, manakala Denil Patrick sebagai pemain keyboard dan Chris Matthias sebagai pemain dram.
Munculnya Viceroyz bermula daripada minat dan keinginan untuk naik ke pentas serta menghasilkan lagu berinspirasi artis tempatan underground pada 2019. Kongsi Viceroyz, genre muzik yang dihasilkan ialah pop indie.

“Kami juga mencuba pelbagai jenis muzik sehingga terhasilnya muzik yang kami gelar sebagai Dance-inde-Synth (DIS).
“Untuk penggambaran video muzik, kami banyak terinspirasi daripada Last Dinosaur, Sunset Rollercoaster, Mac Demarco dan dsbd,” kongsinya kepada Suara Sarawak. Menjelas lanjut, Viceroyz turut berkongsi perkara menarik tentang kumpulan mereka terutama dalam merakam lagu.
“Lagu-lagu dalam album 2ROYZ.FM sebenarnya dihasilkan dan dirakam di dalam bilik tidur Denil, bukannya studio. “Kebanyakan lagu kami tercetus dan ditulis oleh Nick Nebles secara spontan dan akan diperkemas oleh ahli kumpulan yang lain.
“Kesemua lagu yang diinspirasikan menerusi manamana peristiwa atau pengalaman yang semua orang boleh faham,” jelasnya.
Walaupun masih baharu dalam industri muzik, Viceroyz dipilih membuat persembahan bagi salah satu acara temasya yang dianjurkan oleh RIUHINTHECITY di Stadium Negeri Sarawak bagi RIUH OOHHAA.
Pun begitu, mereka masih menghadapi cabaran untuk memenangi hati pendengar tempatan dan kurang dikenali oleh peminat muzik di Semenanjung Malaysia.
“Kami banyak menggunakan media sosial seperti TikTok,Instagram dan Spotify untuk mempromosikan lagu-lagu kami.
“Kami berkongsi video atau gambar berunsurkan komedi yang dapat menarik perhatian orang ramai,” ujarnya.



