Virus corona: Pintu masuk ke Sarawak diperketatkan

KUCHING: Sarawak akan memperketatkan pintu masuk negeri ini berikutan kes wabak virus corona (2019-nCoV) dari Wuhan, China.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan akan mengaktifkan semula saringan pemeriksaan kesihatan di pintu masuk negeri ini.

“Amaran telah diberikan di seluruh negara mengenai penyebaran virus ini kerana Sabah telah ada suspek wabak ini.

“Kita akan memperketatkan pintu masuk di negeri ini melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKNS),” katanya kepada pihak media setelah mengunjungi kediaman Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Seri JC Fong sempena sambutan Tahun Baru Cina hari ini.

Abang Johari berkata, pelancong China yang datang ke Sarawak tidak begitu banyak berbanding di Sabah.

Namun begitu, jelasnya, pemeriksaan saringan kesihatan ini dilakukan di semua pintu masuk sama seperti negara berdepan dengan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dahulu.

Terdahulu, Abang Johari mengunjungi rumah terbuka Tahun Baru Cina, Datuk Seri JC Fong pada jam 11 pagi tadi.

Kehadiran Abang Johari disambut oleh Fong dan isteri, Datin Seri Annie Fong.

Turut mengiiringi beliau ialah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing, serta isteri, Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi serta isteri, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Gazali serta tetamu kenamaan lain.

Suara Sarawak