KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyambut baik hasrat beberapa negeri yang mahu meminda Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri secepat mungkin selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 diluluskan.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan empat negeri yang akan meminda perlembagaan mereka iaitu Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Katanya, ia dilihat sebagai satu langkah yang sihat bagi memperkukuhkan demokrasi.
“Apabila RUU ini dikuatkuasakan kelak, ia tidak memaksa mana-mana negeri untuk ikut tetapi mereka diberi kebebasan sama ada mahu ikut ataupun tidak.
“Kita di peringkat Kerajaan Persekutuan tidak mengambil kuasa ini dari negeri. Pindaan telah dibuat kepada Jadual ke-8 Perlembagaan Persekutuan serta kemasukkan Fasal 1 yang mana kuat kuasa peruntukan ini di peringkat negeri hanya boleh dibuat selepas mendapat perkenan Raja atau Yang Dipertua Negeri.
“Bagaimanapun, saya akan mengadakan sesi libat urus dengan semua negeri bagi menerangkan kebaikan RUU ini, maka sekiranya pihak kerajaan negeri nampak ia adalah baik, mereka akan mengikut langkah yang sama,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, kerjasama dari negeri-negeri tersebut dilihat membolehkan RUU berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti itu dapat diseragamkan dan dikuatkuasakan di peringkat negeri sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, selepas selesai proses di Dewan Rakyat apabila RUU diluluskan dengan majoriti undian sebanyak 209 manakala 11 orang Ahli Dewan Rakyat tidak hadir, dijangkakan sesi libat urus bersama Ahli Dewan Negara diadakan pada bulan Ogos ini sebelum bacaan pertama dan kedua.
“Setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, RUU tersebut akan dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan untuk diperkenankan dan pewartaannya,” jelasnya.



