ARTIKEL

Wan Zamina penghibur jalanan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KERJAYA penghibur jalanan tidak asing bagi masyarakat hari ini dengan mempamerkan bakat bagi menarik perhatian.

Penghibur jalanan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan kerana mereka ada di mana-mana lokasi tumpuan seperti pasar malam, kawasan pelancongan dan festival tertentu. 

Menurut Ikhwannur Sholahudin, 26, dia memilih kerjaya sebagai penghibur jalan atas dasar minat dalam bidang nyanyian sejak berusia 7 tahun.

Lebih mesra dikenali sebagai Wan Zamina, dia meminati lagu Dealova daripada kumpulan penyanyi berasal dari Jawa Timur, Indonesia, Opick.

Wan Zamina merupakan anak kelahiran Kampung Baru, Kota Samarahan dan pernah bercita-cita mengeluarkan lagu sendiri bagi memperkenalkan keunikan bahasa Sarawak. 

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru dan melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Samarahan sebelum tekad meneruskan minat dalam bidang nyanyian. 

“Pendapatan sebagai penghibur jalanan lebih tinggi berbanding pendapatan sebagai Ketua Kru di sebuah pawagam tempatan. 

Jadi memilih untuk menjadi penghibur jalanan kerana waktu bekerja lebih fleksibel berbanding kerja mengikut syif,” ujarnya.

Wan Zamina mempunyai kumpulan penghibur sendiri dikenali sebagai Wanzamina and The Buskers yang beroperasi di Pasar Malam Kota Samarahan.

Beliau memilih lokasi tersebut kerana tempat tumpuan pengunjung di sekitar Kota Samarahan dan beroperasi pada Sabtu dan Ahad sahaja.

“Kami (Wanzamina and The Buskers) mula menyanyi bermula 5 petang sehingga 10 malam. Kadang-kadang ada pengunjung membuat permintaan lagu kepada kami, selain daripada lagu yang dipilih oleh kami berdasarkan populariti semasa,” katanya.

Ujarnya, pungutan diperoleh sebagai penghibur jalanan dianggarkan sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sebulan mengikut kehadiran pengunjung. 

Menjadikan Adi 6ixth Sense sebagai inspirasi Wan Zamina kebiasaannya memilih lagu sebelum beroperasi agar tidak memainkan lagu yang sama berkali-kali. 

Anak ketiga daripada tujuh adik-beradik itu berkata, dia juga dikenali sebagai seorang yang mengutamakan keluarga dalam apa-apa jua perkara. 

“Sekiranya ada apa-apa program bercanggah dengan urusan keluarga, maka saya mengutamakan keluarga.

Saya juga dikenali sebagai anak manja walaupun bukan anak bongsu.

“Bersama rakan-rakan pula, saya dikenali sebagai seorang yang pemalu jika bergaul.

Namun, apabila saya bekerja, saya berusaha sebaik mungkin untuk lebih yakin dan lebih berani di khalayak ramai,” tambahnya.

LAGU BAHASA MELAYU SARAWAK

Wan Zamina bergiat aktif mengeluarkan lagu dalam bahasa Melayu Sarawak menerusi aplikasi Youtube seperti Kamek Suka Kitak, Hapus Air Mata dan banyak lagi lagu bertemakan percintaan.

Lagu Kamek Suka Kitak direka hasil daripada imaginasinya tentang perempuan yang tidak diketahui identity, namun keperibadiannya memikat untuk terus dikenali.

“Proses penyediaan lagu mengambil masa sehari dari aspek penyusunan lirik dan penentuan melodi.

Manakala penghasilan video pula memakan masa sebulan kerana melibatkan pelakon,” jelasnya.

Sebagai penghibur jalanan, sudah pasti tidak terlepas daripada kata-kata negatif orang sekeliling.

TERDENGAR SINDIRAN

Semasa saya baru berkecimpung sebagai penghibur jalanan ini, dia sering terdengar sindiran pengunjung kerana menyanyikan lagu bahasa Inggeris.

“Mereka ketawa dan menyindir saya sebagai Justin Bieber Dark Web, mungkin kerana saya menyanyikan lagu tersebut ada berlaku kesalahan sebutan,” katanya.

Beliau akui bukan mudah membuat persembahan di khalayak ramai memandangkan pengunjung datang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

“Kalau budak kecil dia akan tertarik dengan bunyi petikan gitar, kalau dewasa pula senyum tanda sokongan.

Berbeza dengan golongan berusia, mereka memuji ataupun menegur sekiranya ada yang boleh diperbaiki,” ujarnya.

Wan Zamina berkata, dia pernah dikatakan sebagai pengemis dengan bakat tidak seberapa.

Meskipun sering mendapat kritikan masyarakat, Wan Zamina kekal bertahan sehingga hari ini hasil sokongan yang tidak pernah pudar daripada ahli keluarga.

“Saya akui terkilan dengan kata-kata itu, namun saya tidak mahu bersedih terlalu lama dan terus menjadikan kata-kata itu sebagai pembakar semangat untuk menghasilkan lebih banyak karya,” luahnya.

Katanya, ibu bapa beliau selalu berpesan agar meneruskan minatnya dalam bidang tersebut memandangkan ia rezeki halal dan tidak memudaratkan diri.

Cabaran utama dihadapi semasa beroperasi ialah keadaan cuaca tidak menentu kerana pendapatan diperoleh mengikut kehadiran pengunjung. 

Jika hujan, berkuranglah pengunjung singgah di Pasar Malam Kota Samarahan. 

“Pernah ketika beroperasi di bazaar Ramadan, saya sudah mendapat kebenaran daripada pihak penganjur beroperasi di sana, namun setelah minggu kedua beroperasi, saya dan rakan-rakan dihalau oleh peniaga bazar atas sebab mengganggu operasi perniagaan mereka,” katanya.

Wan Zamina turut berkongsikan perancangannya pada masa akan datang mempelajari ilmu dalam industri seni selain menghasilkan banyak karya tempatan.

“Matlamat saya menghasilkan lagu tempatan adalah untuk berkongsikan keunikan bahasa Melayu Sarawak sekali gus memperkenalkan bahasa Melayu Sarawak kepada pendengar di negeri lain.

“Sama seperti lagu Gadis Jolobu nyanyian Dato Hattan dan Waris yang mendapat sambutan dalam kalangan pendengar walhal pendengar mungkin tidak memahami setiap bait makna lagu tersebut,” katanya.

Wan berharap industri seni di Sarawak diberikan sokongan terutama dalam penghasilan karya tempatan memandangkan industri seni di Sarawak masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain. 

“Saya juga berharap agar pihak industri seni tempatan memberi peluang sama rata kepada semua penggiat seni yang baru berkecimpung dalam industri ini Sarawak mempunyai karya tempatan lebih segar,” katanya.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan