ARTIKEL

Wang besar SUKMA XXI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEKIRANYA Tania Bugo menyertai kontinjen Sarawak pada SUKMA XXI, beliau akan membawa pulang ganjaran RM195,000, hasil kejayaan merangkul 13 pingat emas.

Tania merupakan legenda kolam renang yang bukan sahaja menghadiahkan 13 pingat emas untuk Bumi Kenyalang pada SUKMA 1990, tetapi juga mencipta 12 rekod baharu.

Sejak SUKMA diperkenal pada 1986 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiada perenang di negara ini sehebat Tania, yang bermaharajalela di kolam renang.

Beliau yang sentiasa menjadi tumpuan lensa kamera, membantu kontinjen Sarawak menjuarai temasya berprestij negara itu buat kali pertama pada 1990.

Puteri sulung pasangan Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo dan Puan Sri Judith itu turut dinobatkan sebagai Olahragawati SUKMA 1990, sekali gus memegang takhta ‘Ratu Renang Negara’.

Kejayaan 1990 itu, membangkitkan semangat juara para atlet Sarawak, yang kemudiannya merakamkan dua lagi kejuaraan, pada 1992 dan 1994, sekali gus, sebagai kontinjen pertama merangkul gelaran hatrik (tiga kali juara berturut-turut).

Walaupun habuan pemegang pingat emas tidaklah seberapa, namun kesungguhan serta semangat juang tinggi, demi lencana negeri di dada, menjadi inspirasi generasi atlet ketika itu.

Malah lahirnya, beberapa atlet ternama yang turut beraksi di pentas dunia.

Yang pasti, insentif atau ganjaran tetap memainkan peranan, sebagai semangat tambahan bagi memotivasikan lagi atlet untuk mengejar kejuaraan, yakni pingat emas.

Jumaat lalu Kerajaan Sarawak membuat kejutan apabila Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan habuan RM15,000 untuk pemenang pingat emas Sarawak, RM5,000 untuk perak dan RM3,000 untuk gangsa.

Jumlah tersebut mengatasi ganjaran yang diberikan oleh Johor dan Selangor, RM10,000 untuk emas.

Manakala kebanyakan negeri lain menghadiahkan RM5,000, untuk emas, sama dengan ganjaran pingat perak untuk atlet Sarawak.

Pengumuman tersebut menepati kenyataan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, sehari sebelum itu, bahawa ganjaran untuk pingat emas adalah “sangat lumayan”.

Lebih menarik, jumlah yang sama turut diberikan kepada atlet Sukan Para Sarawak yang akan bertanding pada September nanti.

Bagi Kerajaan Sarawak, ‘tiada pemisah’ antara atlet normal dengan atlet kelainan upaya.

RM15,000 cukup lumayan bagi atlet, sekurang-kurangnya sebagai simpanan atau kegunaan lain, terutama untuk melanjutkan pendidikan di peringkat tinggi, sekurang-kurangnya ia membantu meringankan beban ibu bapa.

Bayangkan ada atlet yang meraih tiga hingga empat pingat emas, bermakna kocek penuh, RM45,000 hingga RM60,000, satu jumlah yang cukup besar bagi anak muda.

Menurut Abang Johari, insentif tersebut bukan sahaja ganjaran apabila atlet berjaya mendapat pingat, malah yang lebih penting sebagai pembakar semangat mereka untuk menempa kejayaan di peringkat lebih tinggi.

“Sukan kini adalah karier dan atlet yang berjaya mencapai tahap tinggi (hingga mewakili Malaysia) di peringkat antarabangsa secara tidak langsung membawa nama Sarawak seperti Datuk Pandelela Rinong, Bonnie Bunyau Gustin serta atlet Sarawak yang lain,” ujarnya.

Realitinya, ganjaran adalah seiring dengan pencapaian, keringkat, penat lelah dan usaha gigih atlet sepanjang membuat persiapan.

Setidak-tidaknya, mereka merasai lebih dihargai, walaupun pada hakikatnya, perjuangan sebenar mereka bukanlah kerana wang sematamata, tetapi demi lencana di dada.

Ia sebagai rangsangan tambahan, di sebalik ganjaran memenangi pingat.

Ia bukan bermakna, kita memanjakan atlet dengan wang ringgit, tetapi sebagai habuan, dan kepercayaan dalam kalangan generasi atlet masa depan selepas ini.

Ia bermakna penyertaan dalam bidang sukan menjanjikan pulangan lumayan, untuk keperluan hidup.

Realitinya, tiada atlet hebat di dunia ini yang merangkul kejayaan melalui jalan pintas… semuanya harus menempuhi detik sukar, keperitan, kepedihan, malah air mata.

Tania Bugo misalnya, sebelum meraih detik gemilang pada SUKMA 1990, beliau menjalani rejim latihan ekstrem, di bawah kendalian, Victor Tan, terpaksa bangun seawal jam 4 pagi, dan menghabiskan sebahagian besar 24 jam sehari di kolam renang, seolah-olah hidup di dalam air.

Malah beliau turut menjaga pemakanan, rehat yang cukup, dan mengorbankan masa senggang zaman remaja.

Bagi Tania, “semangat untuk menang dan demi nama Sarawak” sebagai azimat, serta sumber inspirasinya, Judih Elizabeth, ibu tercinta, yang berasal dari New Zealand.

Begitu juga bekas bintang pecut negara, Watson Nyambek, yang melalui latihan keras sebelum bergelar jagoan Asia Tenggara.

“Saya disiplinkan diri dengan bangun seawal jam 4.30 pagi dengan berjoging di kawasan Tanjung Lobang hingga jam 5.30 pagi sebelum bersiap ke sekolah pada jam 6 pagi untuk meningkatkan stamina.

Sebelah petang rutin harian akan bermula jam 2 petang hingga 6 petang.

Malah raya pecut duna, Usain Bolt, hampir dua dekad berlatih (20 tahun), sejak kecil hingga dewasa untuk bergelar juara dunia, dengan catatan rekod luar biasa acara 100 meter (9.58 saat) yang dikatakan tidak akan dipecahkan sehingga seabad (100 tahun).

Legenda idola dunia, Diego Maradona joging seawal jam 2 petang dan meneruskan latihan hingga lewat senja hampir dua tahun, sebelum menjulang trofi Piala Dunia 1986.

Beliau kemudiannya diangkat sebagai bintang bola sepak terhebat di muka bumi ketika itu, yang memberikan kehidupan ‘bangsawan’ yang serba mewah.

Pele pula dikerah oleh ayahnya menimang (juggling) buah mangga masak di belakang rumah sehingga lunyai ketika zaman kanak-kanak untuk mengasah kemahiran, dan kemudiannya merangkul tiga trofi Piala Dunia (1958, 1962 dan 1970).

Beliau dilabel sebagai bintang sukan abad ke-20.

Setakat ini, jumlah ganjaran keseluruhan yang diraih oleh atlet Sarawak, pada hari kelima SUKMA XXI ialah lebih RM1 juta.

RM810,000 untuk pemenang emas, RM165,000 untuk pemenang perak dan RM132,000 untuk pemenang gangsa.

Andainya sasaran 70 emas menjadi kenyataan, maka jumlah keseluruhan bakal menjangkau hampir RM2 juta.

Yang pasti, bagi atlet yang berjaya, terutama meraih pingat emas, SUKMA XXI menjanjikan wang besar. 

BERITA LAIN

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai