SARIKEI: Seorang wanita warga emas berusia 74 tahun maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian langgar lari di Jalan Repok di sini, awal pagi semalam.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Sarikei.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.50 pagi ketika mangsa menunggang basikal bersendirian di sebelah kiri jalan menghala ke pusat bandar Sarikei.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa sedang bergerak lurus sebelum dirempuh pada bahagian sisi kanan oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Pemandu kenderaan berwarna perak itu bagaimanapun tidak memberhentikan kenderaannya selepas kejadian, sebaliknya terus melarikan diri menghala ke Jalan Masjid Lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang cedera parah akibat pelanggaran itu dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada petang hari yang sama.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti serta mengesan pemandu terbabit.
“Sehubungan itu, saya menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Mustaqim, menerusi talian 010-4427241 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei,” katanya.
Aswandy turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan ketika menggunakan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.



